Tindakan segelintir individu rakyat kita yang mengibarkan bendera
Sang Saka Malaya" ketika negara meraikan kemerdekaan merupakan bentuk
kezaliman terhadap dirinya dan kepada negara. Zalim kepada dirinya
kerana perbuatan itu merosakkan pandangan orang lain terhadap dirinya.
Dengan perbuatan yang melampau itu, tiada lagi kredibiliti yang
dimilikinya sehingga dengan sendirinya dia meranapkan masa depannya
sendiri.
Dianggap sebagai zalim kepada negara kerana dengan perbuatan itu, dia
telah menggugat Perlembagaan negara yang menjadi teras kepada keagungan
dan kewibawaan negara. Tindakan melampau itu juga boleh diiktiraf
sebagai mencabul undang-undang negara yang sudah menetapkan Jalur
Gemilang sebagai bendera rasmi negara yang mesti dihormati dan dijunjung
tinggi.
Bendera adalah lambang kepada kedaulatan dan maruah sesebuah negara.
Mereka sepatutnya merenung dan bertafakur secara mendalam terhadap makna
di sebalik kehebatan sebuah bendera. Demi sang bendera, para pejuang
dan pahlawan kita dahulu mempertaruhkan dan menggadaikan nyawa mereka
menentang penjajahan.
Demi kehormatan bendera, para pejuang kemerdekaan kita mengerahkan
fikiran (ijtihad), hati (mujahadah) dan kekuatan fizikal (jihad) demi
membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan yang menjadikan hidup
rakyat sengsara.
Dalam al-Quran, Allah SWT telah memberi amaran keras kepada manusia
untuk meninggalkan perbuatan zalim dan sikap yang melampau. Allah
berfirman Sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula)
maka baginya seksa yang tidak terperi sakitnya" (Al Baqarah: 278).
Pada pandangan Islam, sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu
ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya,
jika tindakan seseorang itu melampaui batasan agama dan peraturan
kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim.
Berkaitan perkara zalim, kita teringat pesan Rasullullah SAW dalam
sebuah hadisnya ketika baginda diminta nasihat oleh salah seorang
sahabat. Sahabat itu berkata, wahai Rasulullah, berilah aku nasihat."
Nabi bertanya, apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu
nasihat? Sahabat itu menjawab, ya, ya Rasulullah." Nabi kembali
bertanya, apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Ia
menjawab, ya, ya Rasulullah." Tetapi Nabi bertanya lagi, apakah
engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu kembali
menjawab, ya, ya Rasulullah."
Begitulah, setelah tenang sejenak dan merasa yakin bahawa sahabat itu
akan mengamalkan nasihatnya, Nabi bersabda, jika engkau menginginkan
sesuatu, renungkanlah terlebih dahulu dengan baik. Bila ia baik,
lakukanlah, dan bila tidak baik tinggalkanlah."
Hadis di atas mengingatkan kita bahawa tidak semua keinginan yang
terasa di dalam hati harus diperturutkan dengan segera, tetapi
renunglah, dan kawallah ia dengan cermat. Bila dalam perenungan itu
ditemukan kebaikan dari apa yang diinginkan itu, lakukanlah, tetapi bila
dirasakan akan keburukannya, tinggalkanlah, jangan dilakukan. Lalu, apa
ukuran baik atau tidak baik yang dikatakan oleh Nabi?
Sesuatu perbuatan atau tindakan itu dikatakan zalim kerana ia
terkeluar daripada prinsip-prinsip kemanusiaan. Contohnya, membunuh
orang sesuka hati atau melakukan sesuatu tindakan yang di luar
perikemanusiaan. Ada yang menganggap bahawa kerajaan zalim kerana
meruntuhkan rumah atau tempat ibadat yang didirikan di atas tanah milik
kerajaan walhal pada pandangan Islam, mereka yang menceroboh itu
sebenarnya lebih zalim daripada mereka yang meruntuhkan rumah tersebut.
Oleh itu, amatlah dikesali sekiranya konsep kezaliman ini
disalahertikan sehingga sanggup pula menuduh mereka yang menjalankan
tanggungjawab sosial dan keamanan sebagai zalim manakala mereka yang
menjadi pelampau atau penceroboh harta orang lain dikatakan dizalimi.
Islam mengingatkan supaya kita berhati-hati dan berwaspada agar tidak
mudah menuduh kerajaan sebagai zalim bagi mengelakkan berlakunya
kezaliman yang lebih besar lagi.
Sebenarnya golongan yang melemparkan tuduhan itulah yang lebih zalim.
Mereka lebih gemar menganjurkan sesuatu perkara yang boleh
membangkitkan kemarahan orang ramai melalui kenyataan-kenyataan yang
bertentangan dengan hakikat yang sebenar. Tegasnya, tindakan kerajaan
menghalang sesiapa jua yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan
orang lain tidak bermakna tindakan tersebut sebagai zalim dan tidak
berperikemanusiaan. Ini kerana, hakikatnya aspek kemanusiaan telah pun
diambil kira oleh kerajaan dalam menggubal sesuatu undang-undang.
Kelompok yang menolak asas kenegaraan dan peraturan yang diterima
umum sebagai faktor pemersatu dalam masyarakat itu sebenarnya merupakan
kumpulan manusia yang sudah rosak akhlak. Mereka lupa bahawa Islam
meletakkan kehidupan bermasyarakat itu sebagai tonggak penting, kerana
kekuatan Islam adalah kerana setiap individu berusaha mengelakkan
daripada melakukan kesilapan, termasuk memperolok-olokkan orang lain
secara aib.
Kejadian memperolok-olokkan Jalur Gemilang dan mempersendakan ulang
tahun kemerdekaan sebagai tarikh malapetaka" serta menafsirkan makna
merdeka" sama dengan merderhaka" menggambarkan kekusutan jiwa yang
besar dan tindakan yang aib. Ini kerana kemerdekaan itu adalah sesuatu
yang suci, kerana ia adalah sebuah hakikat kemenangan dalam suatu
perjuangan menerusi jerih payah dan pengorbanan bagi menentukan hala
tuju negara.
Meskipun perjuangan menuntut kemerdekaan negara tidak ditegakkan
menerusi peperangan dan tumpah darah", ia tetap menjadi suatu tindakan
yang mulia di sisi Allah SWT. Berdasarkan sejarah perjuangan Nabi
Muhammad SAW, sebahagian besar kemenangan Islam adalah kerana kehebatan
diplomasi baginda sendiri, sentiasa memaafkan musuh-musuh Islam yang
menunjukkan toleransi dan bersedia menyelesaikan kekusutan menerusi
rundingan.
Sikap gelojoh dan hanya mengiktiraf kemenangan perjuangan" hanya
melalui peperangan sebenarnya suatu tindakan yang dirasuk perangai
iblis. Iblis tidak akan berpuas hati selagi tidak melihat ada orang yang
mati bersengketa, kerana tindakan sedemikian membawa kepada nilai
kemuncak kehancuran. Iblis akan kecewa besar jika dua orang yang
bersengketa menghulurkan tangan perdamaian.
Banyak contoh daripada sejarah, perjuangan kemerdekaan secara
revolusineer memerlukan masa yang panjang untuk mengubatinya. Bagi
negara yang merdeka menerusi relovusi, sikap rakyatnya lebih kuat
memberontak berbanding negara yang mencapai kemerdekaan menerusi
rundingan.
Sikap berontak yang keterlaluan itu akhirnya menjerumus negara kepada
situasi yang tidak stabil dan akhirnya memberi ruang kepada kuasa asing
untuk masuk campur, membentuk kerajaan boneka dan dalam sudut politik,
ia tidak bebas daripada cengkaman penjajahan semula, dalam bentuk
penjajahan ekonomi dan budaya.
Islam telah mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika
mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia
yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu.
Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi
oleh nafsu itu adalah suatu perbuatan yang didorong oleh syaitan.
Syaitan merupakan musuh besar yang membawa manusia kepada kemusnahan
peradaban dan kehancuran hidup bermasyarakat kerana tidak mengambil kira
peraturan dan etika, rasa hormat dan kerjasama, sebaliknya lebih
mengutamakan kehendak nafsu yang tidak pernah memahami erti syukur dan
berterima kasih.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...