Darahsatriadotcom

Followers

Saturday, 20 April 2013

Sudut Pandang PRU : Mandat 2013 Untuk Apa?

Selepas sekian lama menunggu, tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sudah diumumkan selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen pada 3 April 2013. 

Maka, 20 April 2013, sudah ditentukan sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei 2013 pula hari pengundian. Seramai 13.3 juta pengundi berdaftar dalam pemilihan 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara kecuali Sarawak.

Siapakah yang akan mendapat mandat kali ini di peringkat Parlimen dan negeri-negeri? Apakah matlamat mandat itu diberikan kepada parti dan calon? Siapakah yang boleh menjadi penentu kepada faktor penarik dan penolak dalam konteks PRU? 

Dalam mana-mana pilihan raya, sudah pasti wujud pemimpin dan penyokong yang akan terus menyokong parti mereka kerana merasakan ideologi dan matlamat parti mereka adalah yang terbaik. Namun begitu, akan ada sebilangan pengundi yang berada 'atas pagar' atau golongan tengah yang akan menunggu, memerhati dan menilai tingkah laku politik baik oleh parti, penyokong mahupun perjanjian yang dimeterai sewaktu melakukan kempen mereka. 

Bagi penyokong parti, apa sahaja yang dilakukan oleh parti mereka adalah untuk proses pembangunan negara dan memartabatkan kedudukan agama, bangsa dan tanah air. Namun, peningkatan kadar celik politik ketara sejak 2008. Ini disebabkan oleh politiking yang tidak habis-habis sehingga hari ini. Kempen berpolitik sudah dimulakan sekian lama dan tempoh masa 15 hari berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sekadar tempoh rasmi. 

Namun begitu, sesuatu harus dipelajari daripada apa yang berlaku pada PRU-12. Barisan Nasional (BN) berhadapan undi protes besar-besaran daripada penyokong tegar sendiri yang mahu BN belajar daripada kesilapan supaya tidak merasa terlalu selesa. 

Malahan, pembangkang mengakui ketika itu, sokongan yang diperolehi adalah sesuatu yang di luar dugaan apatah lagi berjaya menembusi Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan kekal di Kelantan. Majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen dinafikan untuk BN.

Pasca PRU-12 melihat banyak usaha secara berterusan dilakukan untuk memenangi sokongan rakyat. Barangkali, ini adalah isyarat yang cuba disampaikan oleh rakyat pada 2008 kepada BN. Bagi pembangkang, ketika itu tidak pula menyebut tentang boleh menang di negeri yang telah mereka menang tetapi hakikatnya, matlamat mereka hanyalah untuk menumbangkan BN. 

Pembangkang tidak berjaya sepenuhnya dan cabaran bagi parti pembangkang yang terdiri daripada Pas, DAP, PKR dan PSM adalah untuk mengharungi ujian PRU-13 dengan melihat sejauh manakah sokongan yang diperolehi pada 2008 akan kekal kerana majoritinya datang daripada protes penyokong dan ahli parti BN sendiri. Ini tidak dapat ditolak oleh kesemua parti kerana bagi BN, mereka juga akan diuji siapakah yang menunjukkan kesetiaannya kembali kepada BN selepas terhakisnya sokongan pada 2008.

Kelemahan dan kesilapan sebelum ini diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau memohon maaf kepada rakyat. Malahan, sejak 2009 sehingga 2012, pelan transformasi yang merupakan satu perjalanan mewarnai struktur perubahan dan pembangunan negara. 

Ini diterjemah ke dalam Aku Janji Manifesto BN yang buat pertama kali menekankan elemen apa yang telah dilakukan yakni 'pencapaian' dan apa yang 'akan dilakukan' jika diberikan mandat untuk mentadbir lima tahun lagi. Ia mahu dinilai berdasarkan kepada janji dan kebolehpercayaan yang mempertahankan nilai kredibiliti dan rasa tanggungjawab ke atas proses pembangunan negara. Kesemuanya dimuatkan dalam 'Menepati Janji, Membawa Harapan' dokumen komprehensif berprinsipkan kemakmuran, keamanan dan keselamatan. 

Risiko besar diambil oleh BN dengan menyenaraikan apa yang mahu dilakukan sebagai 'janji' kerana jika ia tidak dipenuhi, maka pengundi boleh menghukum mereka dalam PRU-14. Hakikatnya, keutamaan diberikan kepada keyakinan dan kepercayaan bahawa ia mampu dilakukan berkiblatkan kepada pelan transformasi, konsep 1Malaysia dan bagaimana 'rakyat didahulukan'.

Bagi pembangkang dengan dominasi Pas di Kedah dan Kelantan; DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor; pembaharuan dan intipati manifesto 2008 akan dinilai. Manifesto barisan pembangkang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat berbanding dengan tiga manifesto berbeza pada 2008 yakni 'Harapan Baru Untuk Malaysia' oleh PKR; 'Menuju Sebuah Negara Yang Berkebajikan' oleh Pas dan 'Hanya Perubahan' oleh DAP. Penilaian akan dibuat kepada sama ada apa yang disenaraikan pada 2008 sudah dipenuhi dan apakah yang mahu dilakukan untuk jangka masa lima tahun akan datang. 

Jika dahulu, manifesto bukan sesuatu yang mahu dibandingkan, hari ini ia dilihat daripada cerminan yang berbeza-beza. Ia dilihat sebagai satu persaingan pasaran dengan pengundi menjadi konsumernya. Pelbagai jenama sudah melalui reformasi untuk kekal relevan dalam kalangan pengguna mereka walaupun pengguna yang setia tidak akan berubah kepada jenama lain. 

Pakej yang diketengahkan menjadi tarikan kepada pengundi yang boleh berubah-ubah yakni 'pengundi atas pagar'; pengundi kali pertama baik yang berumur 21 tahun mahupun 40 tahun yang baru mendaftar. 

Hatta, pakej menyeluruh akan dinilai dari pelbagai kumpulan pengundi baik yang muda, pertengahan dan warga emas dengan melihat sejauh manakah yang dilontar adalah bersifat rasional dan praktikal. Soal ciplak tidak timbul kerana pelancaran pada waktu yang berbeza dan kebanyakan teras yang dikemukakan merupakan satu kesinambungan dengan paparan hasil akhir membezakan keunikan antara kedua-duanya. 

Dalam salah satu satu artikel ruangan ini, saya ada menyatakan bahawa - "pada 2008 sebelum penarikan keluar dari BN dan ada Ahli Parlimen menjadi anggota Bebas; BN menang 140 kerusi; PKR bertanding 97 dan menang 31; Pas bertanding 66 dan menang 23 manakala DAP tanding 47 dan menang 29. 

"Ini bermakna, BN memerlukan 11 kerusi untuk kemenangan dua pertiga manakala bagi pembangkang, ia mempunyai 85 kerusi walaupun boleh menubuhkan kerajaan mrnerusi majoriti tipis dengan penambahan 27 kerusi daripada sedia ada dan mengharapkan BN kehilangan 26 kerusi daripada 137 yang dimiliki hari ini". 

Ada hampir 17 kerusi yang dimenangi oleh BN dan parti pembangkang di bawah 1,000 undi pada 2008 (walaupun kemudiannya Kuala Terengganu dan Hulu Selangor melalui Pilihan Raya Kecil). Ini termasuk Arau, Kuala Terengganu, Lumut, Bakri, Sandakan, Sarikei, Limbang; Padang Terap, Alor Setar, Sik, Ketereh, Balik Pulau, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat, Wangsa Maju dan Kota Kinabalu. 

Adakah kerusi ini boleh diandaikan menjadi rebutan khusus atau akan berlaku perubahan kerusi yang boleh dirampas bukan daripada 17 kerusi ini. Dalam PRU kali ini, kesemua kerusi dan setiap undi penting dan boleh menjadi penentu kepada kemenangan mahupun kekalahan sesebuah parti atau calon.

Apakah psiki calon dan jentera akan menjadi penentu dalam pecutan terakhir ini? Mampukah struktur parti di peringkat pusat, negeri, bahagian, cawangan dan sokongan badan bukan kerajaan bersama memobilisasi sokongan dengan mengetepikan kepentingan peribadi tetapi mengutamakan kemenangan parti? 

Atau, fitnah yang ditabur ke atas pemimpin akan menjadi faktor paling utama dengan mengetepikan parti, calon dan sumbangan serta kestabilan sepanjang tempoh masa PRU-12 sehingga PRU-13? Bolehkah sabotaj diminimumkan terutama dalam kalangan yang bertungkus-lumus bekerja tetapi tidak menjadi calon? Sudah pasti parti mempunyai percaturan mengapa 'calon paracut' perlu di beberapa kawasan. 

Mandat wajar diberikan kepada calon berkelayakan dari segi silat politiknya. Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, berjawatan besar dalam mana-mana agensi bergelar teknokrat, pengurus, ilmuwan ataupun pendidik, jika tidak memahami denyut nadi pengundi sebagai rakyat kebanyakan, maka mereka tidak layak dalam politik kontemporari. Biar mereka dalam kerjaya masing-masing.
Pengundi mahukan seorang yang bersama mereka, menjiwai citra rakyat dan boleh memahami pemikiran, keperluan dan kemahuan mereka.
Pertaruhan PRU kali ini sudah sampai ke tahap apakah majoriti besar, kecil atau status quo yang menjadi hasil akhir PRU-13? Mandat kali ini amat penting supaya negara dapat merealisasikan segala macam perancangan termasuk yang sudah diukir di sebalik Wawasan 2020. 

Soalnya, adakah pengundi mahukan penambahbaikan berterusan dengan jaminan bagaimana keamanan dan keselamatan terpelihara tatkala tanah air berhadapan dengan pelbagai cabaran dan melihat diri mereka turut bertanggungjawab dalam proses tersebut atau di sebaliknya?

Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...