Sesuatu yang menghairankan apabila ada pemimpin
DAP melatah dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi yang menegaskan, pembangkang perlu berhijrah ke negara yang
mengamalkan sistem republik jika mereka mahu menjadikan hujah undi
popular sebagai alasan enggan menerima hakikat kekalahan pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Ahmad Zahid membuat kenyataan itu berikutan tindakan pembangkang yang
terus memanipulasikan undi popular yang mereka peroleh seolah-olah ia
melayakkan pembangkang untuk memerintah.
Tetapi seperti mana ditegaskan oleh Ahmad Zahid, selaku negara
Komanwel, Malaysia mengguna pakai sistem pilihan raya berasas acuan
British dan ia diakui pembangkang sejak pilihan raya umum pertama lagi.
Tegas beliau, berasaskan acuan tersebut sistem pilihan raya Malaysia adalah first past the post iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote seperti mana diguna negara-negara republik.
Justeru tegas beliau, isu undi popular yang dijaja pakatan
pembangkang dalam mengapi-apikan sentimen penyokong mereka agar turun ke
jalanan bagi mencetuskan rusuhan tidak lebih hanya alasan untuk lari
daripada hakikat kegagalan.
"Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote
yang digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke
negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.
"Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik
mereka. Jika benar setia ke pada negara kena terima sistem politik yang
membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.
"Janganlah kerana tidak dapat menerima hakikat kekalahan, sistem yang
telah sekian lama terpakai di negara ini dimomokkan sehingga sanggup
mengajak rakyat turun ke jalan raya".
Itu penegasan Ahmad Zahid dan hujah seumpama itu tidak ada salahnya,
justeru kenapa perlu pemimpin DAP melatah sehingga ada antara mereka
mendesak Menteri Dalam Negeri itu menarik balik kenyataannya, memohon
maaf kepada rakyat atau berhadapan dengan usul di Parlimen.
Sesuatu yang aneh, ketika pemimpin-pemimpin pembangkang menganggap
PRU-13 berlaku penipuan dan penyelewengan sehingga mereka sanggup
mengadakan perhimpunan haram setiap malam di seluruh negara, kini mereka
bercakap soal hendak mengambil tindakan ke atas Ahmad Zahid di
Parlimen.
Kalau betul sudah menganggap keputusan PRU-13 ini ada penipuan kenapa
hendak bercakap soal Parlimen? Sepatutnya mana-mana ahli pembangkang
yang terlibat dalam perhimpunan haram tersebut tidak mengangkat sumpah
sebagai Ahli Parlimen.
Apa yang melucukan pemimpin DAP menganggap kenyataan Ahmad Zahid ekstrem dan tidak menghormati rakyat.
Soalnya, apabila pemimpin-pemimpin pembangkang menuduh BN menipu
dalam PRU-13 apakah ia menghormati keputusan rakyat khususnya mereka
yang mengundi BN?
Apakah pembangkang tidak memperlekehkan amalan demokrasi apabila
terus mengadakan perhimpunan haram sedangkan dalam masa yang sama mereka
juga sudah mengangkat sumpah memegang jawatan di negeri-negeri yang
mereka tawan?
Mereka menyuruh Ahmad Zahid meminta maaf tetapi bagaimana dengan
telatah memualkan mereka mengadakan perhimpunan haram? Tidakkah
pembangkang perlu meminta maaf kerana seolah-olah mengajar rakyat negara
mencabar undang-undang memandangkan perhimpunan mereka tidak mendapat
permit polis?
Janganlah pembangkang cuba mengalih isu atau berlagak seolah-olah
mereka sahaja yang betul. Apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid adalah
satu kebenaran. Gesaan Ahmad Zahid bukanlah luar biasa, itulah sepatutnya dilakukan
oleh mana-mana pihak yang tidak boleh menerima sistem pilihan raya di
negara ini.
Pembangkang tidak perlu melenting, melatah apatah lagi cabar
mencabar. Sikap pembangkang yang tidak boleh menerima kekalahan mereka
sehingga mahu menyeret rakyat menyokong perjuangan songsang mereka perlu
diperbetulkan terlebih dahulu.
Jika mereka merasakan apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu tidak
betul maka berilah penjelasan. Tetapi apa yang kita saksikan pembangkang
lebih suka menyerang Ahmad Zahid termasuk menggunakan bahasa cukup
kasar, "dia ingat negara ini bapak dia punya".
Pembangkang perlu menghentikan politik propaganda mereka dengan cuba
meracuni fikiran rakyat untuk menyokong mereka dengan menggunakan isu
undi popular.
Kalau mereka masih mahu menggunakan hujah berkenaan maka janganlah hendak mengalih isu dengan menyerang Ahmad Zahid pula.
Naib Presiden UMNO itu hanya menyatakan kebenaran supaya pembangkang
memahami bahawa apa yang mereka lakukan sekarang adalah salah dan
bertentangan dengan semangat demokrasi.
Sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukannya berpolitik. Rakyat
sudah membuat keputusan maka hormatilah keputusan rakyat. Jika
pembangkang berterusan mahu berpolitik maka selayaknya gesaan mereka
kepada Ahmad Zahid dianggap 'angin lalu sahaja' sebab mana mungkin kita
mendengar kelompok yang ibarat, kokok berderai-derai tetapi ekor
bergelumang tahi.
Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...