Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A.K.M.
Atiqur Rahman menyifatkan dakwaan kemasukan kira-kira 40,000 rakyat
negara itu sebagai pengundi hantu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
lalu sebagai tidak masuk akal dan jelas merupakan propaganda jahat
parti pembangkang.
Jelasnya, adalah amat mustahil untuk membawa masuk seramai 40,000
rakyat Bangladesh dalam tempoh yang singkat seperti yang didakwa
pembangkang termasuk di laman media sosial.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak pernah menerima sebarang maklumat
ada warganegara mereka yang didapati telah mengundi pada hari
pengundian.
"Saya yakin tuduhan itu direka oleh mereka yang berkepentingan dengan memberi gambaran serta maklumat yang salah.
"Diharapkan, semua pihak dapat berhenti daripada terus menyebar
khabar angin itu sama ada dalam media cetak, elektronik mahupun di media
sosial serta tidak perlu lagi mengaitkan Bangladesh dalam isu domestik
Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas berhubung tuduhan
rakyat Bangladesh menjadi pengundi hantu dalam PRU-13 di pejabatnya di
sini hari ini.
Sebelum PRU-13 lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya lebih 40,000 pengundi hantu telah
dibawa dari Bangladesh menaiki pesawat komersial untuk mengundi.
Malah, media sosial propembangkang terus menggunakan dakwaan jahat
itu sehingga ramai warganegara Malaysia sendiri telah menjadi mangsa
fitnah apabila dituduh sebagai pengundi hantu kerana wajah mereka
memiliki mirip seperti orang Bangladesh.
Namun, sehingga kini, Anwar dan pembangkang belum membuat sebarang
laporan polis berhubung dakwaan itu sebaliknya hanya membuat laporan
berhubung isu dakwat kekal.
Dalam pada itu, Atiqur Rahman memberitahu, pihaknya bersedia untuk
menerima sebarang bukti jika ada warga Bangladesh yang menjadi pengundi.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan, dakwaan jahat tersebut juga
telah meningkatkan ancaman kepada warga mereka yang tidak bersalah
selain memberi imej negatif kepada negara Bangladesh secara tidak adil.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...