Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba mengalihkan isu yang mengaitkan parti itu dengan tentera siber, Red Bean Army disifatkan sebagai pengecut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia,
Zulkifli Sharif berkata, Guan Eng tidak perlu takut untuk mengakuinya
jika beliau berpegang kepada kebenaran.
Menurutnya, sikap Guan Eng mengecam Utusan Malaysia menggunakan sentimen perkauman itu turut menunjukkan sikap sebenar pemimpin pembangkang tersebut yang berdolak-dalik.
"Guan Eng tidak perlu menafikan hakikat penglibatan DAP sebagai penaja Red Bean Army kerana sudah ramai tampil dan membuktikannya.
"Hentikan sikap 'baling batu sembunyi tangan', sebagai seorang
pemimpin, beliau sepatutnya malu terhadap sikap tidak bertanggungjawab
terhadap tindakannya sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Semalam, Guan Eng seolah-olah cuba menutup kaitan parti itu dengan pergerakan Red Bean Army dan mengalih isu sebenar dengan mengecam Utusan Malaysia kononnya mengaitkan isu tersebut dengan sentimen perkauman.
Sambil menunjukkan laporan akhbar Utusan Malaysia yang
disiarkan Sabtu dan Ahad lalu, Guan Eng menegaskan, laporan-laporan
tersebut sangat bahaya dan mampu merugikan negara kerana melibatkan
keyakinan pelabur asing.
Zulkifli menambah, operasi tentera siber itu yang sering menimbulkan
kemarahan, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu perlu dikenakan
tindakan segera oleh pihak berkuasa.
"Ini demi keselamatan negara serta keamanan penduduk supaya tidak
timbul isu perkauman yang sering dilaung-laungkan mereka," katanya.
Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS),
Hamidzun Khairuddin berkata, Guan Eng tidak menyedari tindakannya yang
cuba untuk menipu rakyat akan memakan diri sendiri.
Jelasnya, sikap tersebut tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang pemimpin yang bercita-cita untuk mengetuai rakyat di negara ini.
"Guan Eng seperti cuba menutup bangkai gajah, tindakan itu tidak mampu menyembunyikan perbuatannya," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...