Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengakui, artikel 'Azan,
Jawi, Jais, UiTM dan 'ba-alif-ba-ya' tidak menyatakan namanya secara
spesifik.
Beliau mengakui artikel itu hanya menyebut dua nama iaitu Ketua
Pembangkang ketika itu, Dr. Mohammad Khir Toyo dan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Teresa memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman RM30 juta
yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap kolumnis Datuk Mohd.
Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan.
Saman itu berhubung artikel tersebut yang diterbitkan di kolum Cuit pada 10 September 2008 yang didakwa diterbitkan dengan niat jahat.
Teresa juga bersetuju dengan cadangan peguam Mohana Kumar T.K.B yang
mewakili Mohd. Zaini bahawa perenggan kedua artikel tersebut berhubung
kait dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohammad Khir menyentuh isu azan
yang tidak menamakan atau merujuk kepada mana-mana individu secara
spesifik.
Dalam saman itu, selain Mohd. Zaini, Teresa turut menamakan syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai defendan kedua.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Selangor
memfailkan saman tersebut pada 9 Oktober 2008 dengan niat dan tujuan
memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli
Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan
negeri Selangor.
Teresa ketika disoal balas mengakui terdapatnya boikot besar-besaran
oleh pakatan pembangkang termasuk DAP sehingga menyebabkan salah seorang
wartawan Utusan Malaysia, Hasnurul Mohamad ditolak sewaktu menghadiri satu sidang akhbar pembangkang.
Bagaimanapun, beliau tetap menyatakan, Mohd. Zaini patut menelefonnya
untuk mendapatkan komen berhubung isu yang ditulis di dalam artikel
terbabit. Pada satu peringkat, Teresa kelihatan agak tegang apabila
Mohana Kumar mengatakan beliau hanya berkata separuh benar di dalam
pernyataan saksinya.
Ini kerana menurut Mohana Kumar, Teresa menyatakan, Utusan Malaysia
telah meminta maaf dan membayar pampasan kepadanya berhubung satu lagi
kes saman terhadap defendan kedua membabitkan cerpen tulisan Chamil
Wariya bertajuk Politik Baru YBJ.
Teresa bagaimanapun dengan nada perlahan mengakui bahawa penyelesaian
dalam kes itu adalah tanpa apa jua pengakuan liabiliti oleh Utusan dan
bahawa permohonan maaf adalah bersyarat iaitu sekiranya ada pembaca
akibat kesalahfahaman menganggap watak dalam cerpen itu merujuk kepada
dirinya.
Perkara itu diakui selepas Mohana Kumar merujuk kepada penghakiman termeterai dalam kes terbabit.
Namun ketika pemeriksaan semula, Teresa kembali menyatakan, artikel
terbabit kalau dibaca secara keseluruhan adalah merujuk kepada dirinya.
Beliau juga mengatakan, satu artikel yang memuji tindakan kerajaan
pembangkang Selangor berhubung tindakan mengadakan tender terbuka tidak
boleh dijadikan sebagai bukti bahawa Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar yang tidak berat sebelah.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...