Darahsatriadotcom

Followers

Sunday, 23 June 2013

Hipokritnya DAP!

Tindakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap pelantikan lima orang senator selaku menteri dan timbalan menteri, disifatkan sebagai hipokrit.

Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, beliau hairan dengan tindakan Naib Presiden DAP itu yang mempertikaikan pelantikan tersebut sedangkan selama ini beliau berdiam diri dan langsung tidak mempersoalkan isu pelantikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang diadakan Disember lalu.

"Bukankah Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah membatalkan pemilihan CEC yang diadakan 15 Disember lalu, jadi mengapa tidak mengambil tindakan terhadap kesahihan pelantikan jawatankuasa itu?

"Sepatutnya sebelum mempertikaikan pelantikan lima senator berkenaan, beliau menyelesaikan dahulu isu dalam 'kantung' sendiri. Tindakan memfailkan semakan kehakiman ini jelas menunjukkan sikap hipokrit dan tidak bermaruah beliau dalam politik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Khamis lalu, Kulasegaran mengemukakan permohonan semakan semula kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah pembatalan pelantikan lima senator yang didakwanya bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Lima senator berkenaan ialah dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan serta tiga Timbalan Menteri iaitu P. Waythamoorty, Datuk Dr. J. Loga Balan Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Asoghan menambah, pelantikan senator berkenaan sepatutnya diterima dengan rasa syukur memandangkan ada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India menganggotai barisan Kabinet.

"Ini satu sejarah di mana wakil NGO dilantik menyertai Kabinet. Kulasegaran sepatutnya gembira kerana ada wakil masyarakat India dilantik, tetapi beliau seolah-olah cemburu dengan pelantikan berkenaan dengan membawa isu ini ke mahkamah.

"Sebagai ahli Parlimen, beliau harus tahu tanggungjawab dan kalau benar, beliau sepatutnya membangkitkan isu ini dalam Dewan Rakyat dan bukannya dibawa ke mahkamah," tegasnya.
Beliau seterusnya menggesa Kulasegaran agar segera menjelaskan dan menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam DAP yang masih tertangguh.

Tegasnya, terlalu banyak isu dalaman khususnya yang berkaitan dengan masyarakat India perlu diberi perhatian segera berbanding mempertikaikan pelantikan senator-senator terbabit.

"Tidak perlu untuk bangkit kononnya sebagai hero rakyat. Isu di Ipoh Barat pun banyak lagi yang belum diselesaikan terutama berkaitan masyarakat India.

"Kalau tidak pun, mari ke Pulau Pinang bantu Timbalan Ketua Menteri 2, P. Ramasamy selesaikan masalah kehilangan aset Lembaga Wakaf Hindu. Bersihkan dahulu rumah sendiri sebelum mahu bersihkan rumah orang lain," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mendesak Kulasegaran supaya menjelaskan berkenaan 753 perwakilan sah DAP yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat India yang tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri Konvensyen DAP di Pulau Pinang pada hujung tahun lalu.

"Mengapa hak ahli ini untuk menjalankan kewajipan terhadap parti seolah-olah dinafikan? Kita mahu beliau jawab isu ini. Saya juga nasihatkan beliau supaya mengubah sikap hipokrit dan jalankan tanggungjawab yang diberikan rakyat terutama pengundi di Ipoh Barat terhadapnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...