Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC)
Perak menyifatkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ibarat
'meludah' ke muka sendiri apabila mengkritik keputusan mengadakan sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) selama satu hari pada 28 Jun ini.
Pengerusinya, Datuk Khusairi Abdul Talib berkata, sebelum mahu
beria-ia menuduh kononnya BN takut berdebat, Koo Ham sepatutnya
mengingati semula bagaimana kerajaan pakatan pembangkang pada 2008
mengadakan sidang pertama DUN hanya beberapa jam.
Beliau berkata, sidang DUN yang berlangsung pada 25 April 2008 hanya
dimulakan pada pukul 3 petang dan diadakan semata-mata untuk memilih
Speaker dan Timbalan Speaker serta upacara angkat sumpah semua Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata,
sudah menjadi kelaziman tidak ada perbahasan dalam sidang pertama DUN
pada awal penggal, malah perkara itu juga berlaku ketika pakatan
pembangkang memerintah.
''Selepas sidang pertama, kerajaan pakatan pembangkang ketika itu
mengambil masa dua bulan untuk mengadakan sidang berikutnya iaitu dari
24 hingga 27 Jun 2008 dan barulah sesi perbahasan dijalankan.
''Nampaknya Koo Ham hanya pandai menuding dan meludah muka orang
lain, tetapi beliau terlupa sebenarnya beliau menuding dan meludah
mukanya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Koo Ham yang juga ADUN Sitiawan dilaporkan berkata, kerajaan BN hanya
mengadakan sidang DUN dalam tempoh singkat kerana takut untuk berdebat
dengan pembangkang selain 'masih dibayangi dengan kerajaan perompak'.
Khusairi menegaskan, dakwaan Koo Ham kononnya sidang DUN tidak
memberi banyak ruang untuk berbahas adalah tidak masuk akal kerana ADUN
pembangkang sering menyalahgunakan peluang yang ada untuk membincangkan
penyelesaian masalah rakyat.
''ADUN pembangkang juga tidak banyak memainkan peranan yang aktif
sepanjang tempoh persidangan penggal lalu, yang hanya dipenuhi dengan
adegan memboikot dan keluar beramai-ramai dari dewan serta tidak
berminat membahas dan membawa masalah rakyat.
''Kebanyakan isu yang dibangkitkan ADUN pembangkang sekadar berkisar
isu politik negeri dan negara, tetapi kurang memberikan tumpuan kepada
masalah-masalah rakyat termasuklah di Pasir Panjang, Sitiawan dan Pantai
Remis ketika itu," katanya.
Khusairi berkata, Koo Ham sepatutnya mencermin diri dan partinya
terlebih dahulu sebelum melempar pelbagai tohmahan kepada pihak lawan.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...