Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui akhbar terbitannya, Buletin Mutiara
didakwa cuba menggambarkan mereka sebagai kerajaan prihatin terhadap
semua kaum dengan mengeksploitasi warga emas kaum Melayu dan India yang
menerima bantuan tahunan RM100.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata,
penyiaran gambar yang menunjukkan warga emas kaum berkenaan yang
kelihatan sangat gembira kerana menerima bantuan berkenaan hanyalah
sandiwara semata-mata.
"Saya melihat Ketua Menteri, Lim Guan Eng melalui akhbar Buletin Mutiara cuma memberikan gambaran kononnya DAP menjaga kebajikan orang Melayu dan India sedangkan hakikat sebenar bukan begitu.
"Jika dihitung, dengan wang sebanyak RM100 setahun, berapa sen yang
dapat digunakan sehari oleh warga emas untuk menampung perbelanjaan
mereka?"
Beliau mengulas muka depan terbitan terbaharu Buletin Mutiara
yang menyiarkan laporan tentang keputusan kerajaan negeri meneruskan
pemberian bantuan berkenaan sambil memaparkan gambar warga emas kaum
Melayu dan India memegang duit RM100 dalam keadaan sangat gembira.
Menurut Aminah, beliau percaya tindakan berkenaan dilakukan
semata-mata untuk kepentingan politik, lebih-lebih lagi syarat
mendapatkan bantuan berkenaan juga menyusahkan apabila warga emas
terpaksa mendaftar terlebih dahulu.
"Saya juga kasihan melihat warga emas berkenaan dipergunakan. Bagi RM100 setahun tetapi mereka canangkan dengan gahnya.
"Sekiranya benar-benar ikhlas, semua itu tidak perlu. Bagi bantuan
kematian pula, hanya diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke
atas dan mesti mendaftar terlebih dahulu," katanya.
Jelas Aminah, dalam konteks memberikan bantuan, kerajaan Pusat secara
konsisten telah melakukannya sejak dahulu lagi menerusi Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Jumlah yang diberi JKM lebih banyak dan secara bulanan, malah tidak
memilih bulu apabila semua kaum akan menerimanya sekiranya mereka
memerlukan. Bahkan, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun
untuk menyalurkan bantuan ini kepada rakyat.
"Kalau hendak dikira bantuan, kerajaan Pusat telah melakukan yang
terbaik bermula daripada bayi berada dalam perut ibu lagi tetapi tidak
dicanang seperti mana kerajaan DAP Pulau Pinang buat.
"Mereka sangat bermegah-megah dengan bantuan kecil sedangkan masalah
asas rakyat negeri ini seperti harga rumah yang melambung tinggi masih
tidak diselesaikan," katanya.
Secara sinis, Aminah bertanya adakah hanya itu kemampuan kerajaan DAP
Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan rakyat selepas memasuki tahun
keenam diberi mandat mentadbir negeri ini?
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...