Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
yang mahu parti itu turut serta dalam perhimpunan membantah keputusan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jelas membuktikan wujudnya kecelaruan
pendirian dalam kalangan pemimpin parti Islam tersebut.
Menyifatkan kecelaruan itu sebagai sesuatu yang pelik dan mengecewakan, aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin turut
mempersoalkan keperluan parti tersebut menyertai demonstrasi yang
dikhuatiri bakal 'menghumban' negara ke kancah kebinasaan jika bertukar
ganas.
''Ambillah iktibar apa yang berlaku di Turki baru-baru ini. Mengikut
sejarah Islam, tiada yang membenarkan perlakukan demonstrasi terhadap
pemerintah. Kalau ada pun, demonstrasi pertama melibatkan golongan
penentang Saidina Uthman sehingga beliau terbunuh.
''Demonstrasi ini wujud sekadar nak pamerkan rasa marah dan tidak
puas hati. Akan ada yang menghamburkan perkataan-perkataan tak baik atau
fitnah. Oleh itu, kalau benar Mohamad Sabu kata Pas setuju sertai
demonstrasi, kita amat kecewa,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohamad seperti yang dilaporkan portal propembangkang, Malaysiakini mengenai persetujuan jawatankuasa Pas Pusat mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
Namun, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan beliau tidak tahu-menahu mengenai kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Riza berkata, negara ini memiliki
undang-undang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan
mana-mana parti yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya
boleh mengemukakan petisyen.
''Ikutlah undang-undang, itu lebih mudah dan jangan heret rakyat
melakukan demonstrasi kerana ia tidak baik kepada negara. Kita minta
ahli Pas supaya berfikiran rasional kerana demonstrasi ini tak lain
hanyalah untuk menyusahkan orang lain,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...