Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim
Guan Eng didesak untuk tidak berterusan menutup mulut daripada memberi
penjelasan berhubung isu-isu yang membelenggu DAP khususnya berkaitan
pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.
Desakan tersebut disuarakan bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai
Pelek, Tan Tuan Tat yang mahu kedua-dua pemimpin tertinggi DAP itu turut
menjawab dakwaan berhubung penipuan dalam pemilihan CEC seperti
didedahkan penulis Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC), Father
Augustus Chen.
Malah menurutnya, Kit Siang perlu tampil menegaskan mengenai
hubungannya dengan Father Augustus yang didakwa pernah menjadi rakan
karib kepada Penasihat DAP itu sebelum ini.
"Kit Siang dan Guan Eng tidak wajar berdiam diri dalam perkara ini.
Sekarang semua pihak mula faham mengapa Guan Eng enggan memberi senarai
nama 2,576 perwakilan yang berhak hadir dan senarai 1,823 perwakilan
mengundi dalam pemilihan CEC itu kepada lima pemimpin DAP yang lain
serta Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kalau nak berbicara soal ketelusan seperti slogan pentadbiran Guan
Eng iaitu Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT), buktikan. Sampai bila mahu
tutup mulut?'' soal beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong
memberitahu, Father Augustus didakwa pernah menjadi rakan karib Kit
Siang namun persahabatan mereka tamat kerana Kit Siang dikatakan
mengamalkan nepotisme.
Kit Siang sehingga kini masih gagal memberi penjelasan berhubung penyelesaian isu pemilihan CEC yang diadakan sebelum ini.
Pemilihan CEC DAP pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa
wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberikan notis
kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi di dalam
pemilihan tersebut.
Keputusan pemilihan itu yang diadakan pada 15 Disember tahun lalu
juga menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih, tetapi selepas
19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal
dalam penjumlahan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik kepada
Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari sebagai ahli CEC.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...