Gabungan tenaga politik Melayu yang diwakili UMNO
dan Pas akan disegani semua pihak termasuk petualang-petualang politik
setiap kaum di negara ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata,
hakikat itu terbukti pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun
Abdul Razak Hussein.
Menurut beliau, UMNO sewajarnya bersedia melihat dalam diri secara
jujur dan menginsafi kesilapan sendiri manakala Pas pula seharusnya
bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan.
"Tenaga politik Melayu yang terdiri daripada pelbagai komponen itu
perlulah bersinergi, perlu disatukan dan digembleng secara teratur dan
bersungguh-sungguh.
"Itulah mesej yang hendak disampaikan kepada UMNO dan Pas sebagai dua
wadah perjuangan orang Melayu yang sepatutnya wujud untuk saling
melengkapi dan tidak saling memusuhi," katanya ketika membaca surat
terbuka khas kepada UMNO dan Pas dalam sesi perbahasan titah Yang
di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Tambah Firdaus, orang Melayu kini berada dalam keadaan sangat kritikal dari pelbagai segi termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Beliau memberitahu, jika keadaan kritikal itu tidak dapat diatasi
tidak mustahil kemajuan yang dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati
sekarang akan pupus begitu sahaja.
"Kalau orang Melayu kehilangan kuasa politik seperti yang pernah
dibayangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka amat
sukar malah mungkin mustahil untuk menebus atau memperoleh kembali kuasa
politik itu," katanya.
Walau bagaimanapun, Firdaus berpandangan, setakat ini, UMNO dan Pas
masih gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama sekali gus gagal
dalam menggembleng tenaga politik Melayu yang utuh, berkesan dan
berwibawa.
Beliau turut menyarankan UMNO dan Pas menghayati pesanan Imam
Masjidilharam, Sheikh Idris Ismail al-Hafiz yang mengingatkan umat Islam
memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap mereka.
"Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut
semalam wajar dijadikan sebagai permulaan untuk hubungan baharu antara
UMNO dan Pas yang lebih produktif dan dimulakan dengan kesediaan untuk
saling bermaafan dan besar hati," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...