Menjelang tarikh kemerdekaan 31 Ogos, tertanya-tanya kita sejauh manakah 'merdekanya pemikiran berpolitik' rakyat Malaysia.
Jika sekadar berpolitik untuk melepas geram, dendam, benci tentu tidak
ke mana. Ia akan merugi masa, tenaga, belanja. Bimbang pula ia akan
mencetus huru-hara, persengketaan dan menjejas keharmonian yang sedia
ada.
Yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini ialah apa yang boleh
dianggap sebagai 'kecelaruan berpolitik'. Berpolitik tanpa objektif yang
jelas. Berpolitik secara terikut-ikut, taksub, politik asal saja
dinamakan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) semua dianggap 'tidak betul'. Tegasnya berpolitik tanpa memahami matlamat.
Dikaitkan pula kononnya politik di Malaysia perlu berubah seperti yang berlaku di beberapa negara
lain khususnya sekitar Asia Barat. Untuk apa? Teruk sangatkah kehidupan
kita di Malaysia? Buruk sangatkah corak pemerintahan di Malaysia? Apa
buktinya?
Ketinggalan sangatkah rakyat Malaysia - dari segi pendidikan,
pemilikan kekayaan, menikmati keselesaan melalui kemudahan-kemudahan
asas? Tidak adil? Yang pembangkang boleh memerintah beberapa negeri itu apa maknanya? Kenapa BN tidak memperoleh kemenangan dua pertiga di Parlimen?
Mereka tidak pula melihat betapa buruknya kesan daripada
persengketaan politik sehingga berlaku rampasan kuasa atau runtuhnya
kerajaan yang sedia ada secara tidak terhormat. Dapatkah dibilang berapa
buah negara bangkit segar selepas diruntuhkan secara tidak bermoral dan
berperaturan.
Dipengaruhi kemaruk mahu menjadi pemimpin (Perdana
Menteri?) ada pihak menggesa agar politik Malaysia diubah melalui
demonstrasi jalanan jika tidak berupaya melalui proses pilihan raya.
Tiada pilihan untuk dijadikan sasaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
dijadikan 'kambing hitam'.
Lalu ramailah juga mereka yang terikut-ikut rentak 'pemburu agenda
peribadi' ini untuk melaungkan semua yang kerajaan buat tidak betul!
Rakan-rakan wartawan pernah menemu bual anak-anak muda semasa
perhimpunan 'Bersih 0.2' di ibu negara sedikit masa lalu. Ditanya kenapa
mereka datang berhimpun, lantas ada yang menjawab: "saja suka-suka.
Orang ajak kita datanglah!" Apa maksudnya ini jika tidak diistilahkan
sebagai 'pengikut politik gila-gila."
Nyatalah ramai mereka terutama generasi muda semakin tidak faham apa
yang mereka cari sebenarnya apabila bercakap tentang politik negara.
Tidak usahlah pula ditanyakan erti penghargaan kepada pemimpin-pemimpin
yang memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara. Saban waktu
ada-ada saja cemuhan, tohmahan, atau bibit-bibit kebencian dan kutukan
dihambur kepada barisan kepimpinan negara.
Tidak dinafikan pengaruh ini dibawa menerusi media sosial. Tetapi
tidak banyak pihak cuba memandu golongan ini agar faham dan mampu
menghayati aspirasi sebenar politik Malaysia. Tertanya ke mana peranan
guru, pensyarah, pemimpin tempatan hatta ibu bapa sendiri. Apa lagi mahu
dikata, jika terdapat anak-anak muda Melayu
yang tidak faham istilah Dasar Ekonomi Baru.
Malah ada antara mereka
langsung tidak mempedulikan istilah 'keistimewaan bumiputera' di bumi
merdeka ini.
Jauh sekali untuk menerima kenyataan bahawa banyak kemudahan yang
dinikmati mereka itu tertampung oleh 'tampalan subsidi kerajaan'.
Bezanya - kerja mereka mengutuk sementara pada masa yang sama
pemimpin negara berhempas pulas berusaha memakmurkan kehidupan rakyat.
Barisan kepimpinan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk atasi gejala
jenayah. Mereka juga berbincang bagaimana untuk mengekalkan kestabilan
ekonomi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Di Kelantan, rakyat yang memerlukan bantuan mencari wakil rakyat BN
atau Ketua-Ketua Bahagian UMNO bukan wakil rakyat Pas atau
pemimpin-pemimpin tempatan Pas. Ini termasuk untuk mendapat bantuan
tambang kapal terbang atau bas kerana mahu hantar anak-anak ke
pusat-pusat pengajian tinggi. Di musim sekolah pula, mahu bantuan untuk
beli seluar baju anak-anak, beg sekolah.
Pujian patut diberi kepada pemimpin-pemimpin Pas Kelantan kerana
rakyat tidak cari mereka untuk bantuan. Mereka pandai meletak 'label' di
hati rakyat bahawa mereka kalangan pemimpin yang miskin, susah dan
berpendapatan amat terhad. Lalu orang ramai tidak minat menemui mereka
untuk mendapat bantuan.
Kita tidak bermaksud rakyat Malaysia tidak perlu 'menghiraukan
politik', tetapi berpolitiklah secara berhemah, faham dan tahu arah
haluan bangsa dan negara. Bagi sesama umat Islam, bersengketa hanya
semata-mata berbeza fahaman politik tentu lebih dikesalkan.
Kenapa kita harus 'terpisah kemesraan' kerana politik? Berpolitik
untuk siasah mencari 'kuasa' untuk mentadbir urus negara dengan baik.
Manfaatnya untuk kepentingan semua. Bukan untuk tidak bertegur sapa atau
caci mencaci. Cubalah tanyakan apa erti merdeka jika fikiran masih
kusut, celaru hanya kerana tidak memahami untuk apa sebenarnya
'berpolitik'.
Kita tentunya masih tidak 'merdeka' jika hanya berpolitik secara
'suka-suka', 'ikut-ikutan' , 'taksub', penuh emosi dan sentimen… namun
tidak mengerti ke mana penghujungnya. Satu sudut lagi 'berpolitik' yang
boleh membahayakan ialah untuk memperjuangkan semangat perkauman sempit.
Mereka mahu apa yang "mereka mahu" tanpa ada konsep "sedia menerima"
struktur negara yang seadanya. Jika boleh mereka mahu generasi baru
tidak perlu fikir dan tidak perlu tahu sejarah tanah air. Mereka
barangkali tidak dapat menerima hakikat bahawa negara tidak stabil
selagi "emosi orang Melayu terganggu".
Mari kita sambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 dengan
penuh rasa muhibah, saling memahami dan menghormati dan menghargai
peranan, sumbangan dan jasa masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...