Masyarakat Islam yang sedang melaksanakan ibadah puasa juga disinggung dengan provokasi-provokasi yang mencabar kesabaran. Sedangkan, puasa dalam bulan Ramadan merupakan sekolah tanpa binaan fizikal. Suatu persekolahan yang mendidik hati agar melindungi sifat-sifat mahmudah daripada sifat-sifat mazmumah. Tentulah sesuatu yang ironi apabila puasa tidak dapat menganjurkan rasa aman dan tenang. Ataupun, kesejahteraan hidup dicemarkan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah berpuasa.
Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya perpaduan. Tetapi sukar untuk membentuk perpaduan jika tidak ada patriotisme. Keamanan adalah asas kepada pembinaan pembangunan. Juga asas kepada kemajuan yang menjadi proses pewujudan tamadun bangsa. Setiap tindakan yang bercanggah dengan nilai-nilai perpaduan adalah tidak patriotik. Begitu juga perbuatan yang menghalang kemajuan juga tidak mencerminkan kecintaan terhadap negara. Tindakan-tindakan yang berbentuk provokatif dan menyalahi undang-undang juga menggambarkan tiada patriotisme dalam jiwa. Maka, secara ringkasnya apa sahaja perkara yang tidak mesra perpaduan dan yang boleh meruntuhkan peradaban adalah tidak patriotik.
Kemerdekaan yang kita nikmati, meniti usia enam dekad. Pedih dan pahit perjuangan dahulu semakin tinggal kenangan tanpa rasa empati. Terutamanya dalam kalangan generasi muda. Generasi yang bersusah-payah berjuang dan mendokong perjuangan, sudah menjadi kalangan warga emas, semakin menyusut bilangan mereka dan tidak kurang yang pergi meninggalkan kita. Walaupun sebahagian daripada kita membaca sejarah dan latar belakang pembinaan negara, tetapi tanpa faham dan rasa. Lantas, perjuangan dahulu hanya ibarat mitos yang tidak cukup menginsafkan. Sudah menjadi resam, keselesaan menjadikan manusia rasa sukar untuk menjiwai, mengapa patriotisme perlu ada dalam sanubari setiap diri seorang rakyat.
Titik mula patriotisme adalah dengan memahami sejarah. Walaupun barangkali sukar untuk membayangkan diri sendiri sebagai sebahagian watak dalam sejarah. Usah juga kita bertanya apa yang negara kita boleh berikan kepada kita, tetapi seharusnya kita yang bertanya pada diri sendiri, apa yang kita mampu berikan kepada negara. Sementelah kita dilahirkan, dididik dan mendewasakan diri di atas tanah kelahiran ini. Ibarat berbudi kepada tanah, akhirnya kita juga yang akan nikmati hasilnya.
Dari satu sudut lain, kita juga harus menginsafi bahawa perjuangan tidak akan pernah selesai kerana cabaran sentiasa berubah menurut perubahan realiti. Namun, jika jiwa memiliki jati diri yang tinggi ia mampu menempuhi apa-apa jua bentuk cabaran. Justeru, seorang rakyat seharusnya juga seorang patriot walaupun tidak ditugaskan di medan perang. Pada zaman tanpa sempadan ini hanya individu yang peka dapat memahami dan mengenal pasti kewujudan ancaman yang pelbagai bentuk.
Menjadikan peperangan antara kalangan manusia dan negara, lebih bersifat abstrak dan subjektif. Seorang warga yang sensitif dengan nilai-nilai budaya dalam masyarakatnya akan berfikir dengan teliti dan mendalam sebelum melakukan tindakan, termasuklah apa-apa yang didakwa sebagai penghasilan sebuah karya. Amat tidak adil, atas nama kebebasan bersuara atau kebebasan berkarya, sensitiviti masyarakat tidak dipedulikan. Setiap masyarakat mempunyai budaya hidup dan keunikan yang tersendiri.
Oleh demikian, tidak sewajarnya kita memandang remeh persepsi yang tersendiri orang Islam tempatan terhadap isu-isu tertentu hanya dengan dakwaan tidak bersikap terbuka. Mungkin bertujuan hendak mengubah pemikiran yang dianggap tertutup. Sekali pun benar, haruslah dilakukan dengan cara yang tidak menyinggung hati banyak orang. Apabila pesan orang lama seperti, "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung" tidak dipedulikan, maka sedikit sebanyak kesannya boleh menggugat kesejahteraan hidup bermasyarakat. Begitulah juga sebaliknya, apabila kita melawat di tempat orang lain. Sensitiviti masyarakat tempatan perlu diambil tahu, setakat mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berteraskan wahyu Ilahi. Agama Islam merupakan agama yang fleksibel, tetapi kebijaksanaan amat diperlukan bagi memperlihatkan Islam agama yang amat indah di mata semua orang.
Malangnya dalam kalangan masyarakat kita, ada segelintir yang cuba menegakkan benang yang basah hanya kerana ada kepentingan politik. Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai 'asabiyah, "Apakah yang dikatakan sebagai 'asabiyah?' Jawab Baginda, 'bahawa kamu menolong kaummu dalam kezaliman." (Dari Abu Dawud)
Jika kesejahteraan sentiasa diganggu-gugat, tentunya akan memberi kesan kepada kelangsungan peradaban bangsa. Tamadun bangsa yang telah dibina, perlu sentiasa diisi, dipelihara, dipertahankan malah diperkukuhkan. Tahap kredibiliti belia pada hari ini dapat memberi jangkaan yang hampir tepat tentang keadaan negara pada masa akan datang. Selaras dengan kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi - "Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah pada keadaan generasi mudanya pada ketika ini. Sekiranya mereka dalam kalangan yang berakhlak dan mempunyai budi pekerti yang tinggi maka, keadaan negara pada masa akan datang, tentunya aman dan makmur. Jika keadaan sebaliknya maka, bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang bakal berlaku."
Membina jati diri dan patriotisme perlu dilakukan seawal mungkin, ibarat melentur buluh. Sesetengah negara telah mendedahkan pendidikan patriotisme kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun. Dalam usia muda, mereka telah dikenalkan dengan simbol-simbol berkaitan negara mereka seperti pemimpin dan bendera negara. Dalam lingkungan 10 tahun pula, mereka telah terdedah dengan konsep-konsep yang lebih abstrak dan kompleks sifatnya seperti peranan warganegara dalam sistem politik. (Ku Hasnita Ku Samsu & Mohd Haizam Mohd Nor, Jati, Vol., 16, Disember 2011).
Makanya, tahap patriotisme sesetengah warga Malaysia perlu dirawat dan menjalani pemulihan. Ibarat penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan, ia harus dibendung sejak awal lagi. Ajari anak-anak, jika kita senyum pada bunga, bunga akan senyum pada kita kembali dan dunia akan menjadi indah untuk didiami.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...