Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday, 14 August 2013

Inilah Yang Rakyat Malaysia Mahu!

Dalam ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Penasihat DAP Lim Kit Siang melontarkan soalan untuk difikirkan oleh rakyat negara ini 'Apa lagi Malaysia mahu.'

Penulis tidak menafikan rakyat Malaysia seperti mana kata Kit Siang mahukan tadbir urus yang baik, kejayaan dalam usaha membasmi korupsi, keamanan dalam negara dan kadar jenayah yang rendah, keadilan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran untuk semua warga serta sistem pendidikan bertaraf dunia dari peringkat rendah sampai ke universiti.

Kit Siang juga menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan negara dan tidak mempunyai hasrat untuk berhijrah ke negara lain merenung bagaimana hendak menjadikan Malaysia lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur untuk semua rakyatnya tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Sekali lagi penulis bersetuju dengan seruan Kit Siang itu kerana itulah juga hasrat seluruh rakyat Malaysia yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup dalam harmoni dan bersama-sama membangunkan negara sejak merdeka pada 31 Ogos 1957.

Bagaimanapun satu perkara yang sepatutnya Kit Siang bertanya, ''apa lagi yang rakyat mahu daripada pembangkang.' Ini kerana sejak tahun 2008 siapakah yang bertanggungjawab membawa satu corak politik yang boleh menggagalkan impian Kit Siang untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni.

Keghairahan pembangkang untuk mempolitikkan apa sahaja perkara dan isu telah memungkinkan rakyat Malaysia menjadi keliru terhadap masa depan negara. Ia memandangkan pembangkang seolah-olah tidak pernah mahu berterima kasih terhadap usaha kerajaan, tidak bersedia berbincang dengan kerajaan dan sentiasa sahaja mahu mencari salah kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Sebagai contoh dalam isu penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, pakatan pembangkang yang beria-ia mahu ia digunakan sehingga sanggup turun ke jalanan bagi membuat tuntutan berkenaan atas dasar kononnya ingin sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Tetapi apabila kerajaan BN melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penggunaan dakwat itu, pembangkang membuat bising pula dengan mengatakan dakwat itu tidak kekal dan menuduh BN berpakat dengan SPR untuk mengekalkan kuasa.

Lebih mengelirukan rakyat sehingga menimbulkan pertanyaan apa lagi pembangkang mahu ialah apabila mereka menolak keputusan PRU-13 dengan mendakwa berlaku penyelewengan. Tidak sampai 24 jam keputusan diumumkan, pembangkang mengumpul rakyat untuk mengadakan demonstrasi.

Apa yang anehnya, pembangkang hanya menolak keputusan yang menyebelahi BN, tetapi dalam masa yang sama mengiktiraf kemenangan mereka menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang mahu mewujudkan sebuah negara yang 'lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur' seperti mana diidam-idamkan oleh Kit Siang.

Selain itu, rakyat juga mahu tahu kenapakah DAP tidak mahu menerima keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membatalkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu selepas menerima aduan bahawa terdapat unsur-unsur penipuan dalam pemilihan berkenaan.

Pembangkang menyatakan rakyat Malaysia mahukan tadbir urus yang baik tetapi kenapakah susah sangat DAP hendak menerima keputusan ROS itu yang sudah pastinya dibuat berlandaskan kepada peruntukan undang-undang.

Begitu juga apabila pembangkang beria-ia berkempen mendesak supaya akta tertentu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan dihapuskan , apabila kerajaan BN membuat keputusan 'memenuhi permintaan' itu dan ingin menggantikannya dengan akta yang bertujuan bagi menjaga keharmonian kaum dan agama di negara ini, pembangkang membantah pula.

Sudah pastilah tindakan pembangkang ini mengelirukan rakyat kerana mereka tidak faham kenapa pembangkang perlu menentang akta yang bertujuan turut menjadi idaman Kit Siang iaitu menjaga keamanan dalam negara.

Demikianlah juga apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering sahaja menjadi sasaran pembangkang. Kematian tahanan dalam lokap contohnya diperbesar-besarkan tetapi dalam masa yang sama pembangkang tidak pula memberi idea bagaimana hendak memperkasakan PDRM dalam usaha untuk mengurangkan lagi kadar jenayah.

Seperkara lagi apabila pembangkang menyebut soal kemajuan dan kemakmuran untuk semua warga, mereka tidak boleh menafikan bahawa kerajaan BN telah melakukan pelbagai usaha ke arah itu. Setakat ini tidak ada mana-mana kelompok yang dipinggirkan sebab itulah kaum Cina boleh menguasai ekonomi, biar pun sebahagian besar mereka bukanlah menyokong kerajaan BN pun.

Tetapi itu hak mereka sebagai rakyat Malaysia, mereka berhak menikmati kejayaan dan kemakmuran tetapi janganlah pembangkang hendak meracuni pemikiran mereka pula dengan membangkitkan isu yang menunjukkan seolah-olah kaum Cina dianaktirikan.

Malah rakyat juga mahu bertanya, ketika pembangkang bercakap soal keharmonian kaum dan begitu menentang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh orang Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tetapi kenapakah pembangkang tidak berkata apa-apa terhadap Persatuan Dong Zong dan HIndraf? Kenapakah pemimpin pembangkang bersedia menghadiri persidangan Dong Zong baru-baru ini yang dilihat jelas hanya mengutamakan pendidikan untuk satu kaum sahaja. Bagaimana pula dengan sikap pembangkang yang bersedia bekerjasama dengan Hindraf khususnya pada tahun 2008 semata-mata mahu meraih sokongan kaum India dalam pilihan raya umum tahun berkenaan.

Sebenarnya banyak lagi hujah yang boleh dibentangkan bagi menyahut seruan Kit Siang supaya rakyat Malaysia memikirkan pertanyaan 'Apa lagi Malaysia mahu'.

Penulis yakin satu perkara yang paling dimahukan oleh rakyat Malaysia ialah pembangkang menghentikan sikap berpolitik mereka sepanjang masa.

Biarlah berpolitik hanya pada musim pilihan raya sahaja tetapi apabila ia sudah berakhir maka bersikap terbukalah untuk menerima keputusan kerana itulah sebenarnya semangat demokrasi.

Tiada gunanya, jika Kit Siang mahu rakyat Malaysia memikirkan 'Apa lagi Malaysia mahu' sedangkan pembangkang sendiri seolah-olah menjadi penghalang terhadap cita-cita beliau mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur.

Justeru adalah lebih baik, sebelum Kit Siang mahu rakyat Malaysia memikirkan 'Apa lagi Malaysia mahu', beliau juga perlu bertanya kepada pemimpin-pemimpin DAP dan sekutu politik mereka, apakah sebenarnya pembangkang mahu.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...