Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 6 September 2013

Cukai Jalan Bakal Dimansuhkan?

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang daripada 2,000cc.
 
Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, kerajaan harus peka terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana supaya golongan berkenaan dapat mengharungi cabaran semasa ekonomi negara.

"Saya berharap daripada penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi bahan api dapat digunakan untuk memansuhkan cukai jalan kenderaan dan pengurangan kadar insurans," katanya di sini.

Beliau berkata, pakar ekonomi negara pasti sudah lama memikirkan alternatif dalam mengurangkan beban rakyat, dan langkah ini perlu dilaksanakan supaya rakyat tidak rasa terbeban dan teraniaya.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pengurangan subsidi bahan api akan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 bilion yang boleh digunakan untuk disalurkan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga projek infrastruktur.

Merujuk kepada cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memperkenalkan semula petrol RON92 di pasaran, Hashim berkata, beliau tidak pasti sama ada masih terdapat kenderaan-kenderaan yang menggunakan minyak jenis tersebut.

"Kereta-kereta sekarang ini sudah tidak boleh menggunakan RON92 memandangkan sudah ramai yang menggunakan kereta-kereta baharu yang tidak sesuai menggunakan minyak tersebut (RON92)," katanya.

Hashim juga berkata jika RON92 diperkenalkan semula, pengusaha stesen minyak juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk menambah tangki minyak dan pam untuk RON92.

"Kesan penggunaan minyak RON92 juga tidak baik untuk alam sekitar," katanya.

Sebelum ini, Menteri KPDNKK, Datuk Hasan Malek berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenal semula petrol RON92 bagi menawarkan alternatif sumber bahan api yang jauh lebih murah kepada para pengguna.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan juga perlu mengenakan tindakan tegas yang boleh memberi kesan 'gentar' kepada peniaga yang menaikkan harga barang melampau berikutan kenaikan harga minyak.

Katanya, ini bagi memastikan apabila harga minyak naik, ia tidak akan menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga untuk turut menaikkan harga barang.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...