Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 23 September 2013

Jangan Muda Belaka Sahaja!

Setiap kali UMNO hendak ‘asah keris’ dalam memilih pemimpin baharu akan timbullah isu ini - ‘kita amat perlukan gabungan tenaga tua dan muda’.

Sebenarnya sejak 1946 lagi, UMNO telah mengamalkan gabungan tenaga yang sihat. Mana-mana pihak khasnya yang muda seandainya berasakan dengan program meremajakan UMNO hanya orang muda yang kebal - maka ini tanggapan yang cukup besar silapnya.

Ungkapan istilah meremajakan UMNO disebut oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hasil dari terjemahan semua pihak tetapi dengan cara mengguna pendekatan idea-idea baharu. Dan bukan fizikalnya semata-mata, yakni harus muda-muda belaka.

Bagi orang lama, Tan Sri Dr. Rais Yatim, 71, yang pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dalam kerajaan (tetapi sebenarnya juga telah berkhidmat kepada kesemua Perdana Menteri termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman yang pernah menjadi Penasihat Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang waktu itu Rais timbalan presidennya), mempunyai pandangan tersendiri yang boleh 3.4 juta ahli parti timbang-timbangkan.
“Saya menjadi ahli UMNO mulai 1965 dan mendapat gabungan tenaga muda dan berpengalaman, iaitu sesuatu yang dimestikan dalam parti waktu itu.

“Sebab UMNO ini tidak ditubuhkan secara tiba-tiba oleh orang muda, tetapi diwujudkan oleh orang yang berpengalaman yang ada siasah kemelayuan keislamannya yang cukup," kata beliau ketika ditemui penulis di pejabat guamannya di Wisma Packer 195, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di ibu negara baru-baru ini.

Rais yang kini merupakan Penasihat Sosio Budaya kerajaan dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menarik perhatian bagaimana sejak era Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar sehinggalah ke hari ini, gabungan tenaga lama dan muda tetap ada. 

Ilustrasinya banyak. Iaitu semasa era Onn ada barisan pemudanya. Anaknya, Hussein yang baru pulang dari India digabungkan tenaganya bersama, tetapi Onn tetap memimpin UMNO.

Semasa Almarhum Tunku berjuang, sebarisan pemimpin bawahan beliau juga daripada kalangan orang muda. Tetapi semasa zaman Tunku, tiga perempat anggota pentadbirannya meliputi tenaga berpengalaman. Satu pertiga pula orang baharu. 

Di era Tun Abdul Razak dan Datuk Harun Idris, mereka membawa ramai pemimpin muda seperti Suhaimi Kamaruddin, Mohamed Rahmat (Tok Mat) dan Rais sendiri. 

Ketika era Hussein, ada gabungan kepimpinan mudanya, waima Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pun ada pasukan Puteri, Pemuda dan Wanitanya.

“Cuma saya lihat keghairahan kononnya dikatakan orang muda sahaja boleh kepalai UMNO itu silap besar sebab UMNO ini ada tamadunnya yang baik. Jangan lagi dipolemikkan UMNO perlu dikepalai atau ‘dikomplotkan’ oleh generasi muda sahaja. 

“Jika ini berlaku, kesinambungan nilai akan mati dan rencahan atau gaulan untuk membina parti akan terbengkalai sebab generasi muda tidak dapat perspektif menyeluruh mengenai orang Melayu," katanya.
Bagi Rais, nisbah gabungan pemimpin 50:50 lama dan muda adalah terbaik. Atau sekurang-kurangnya gaulan lama satu pertiga dalam pimpinan. 

Barangkali mahu tak mahu kumpulan Naib Presiden, juga perlu diisi seorang muda dan dua lagi yang berpengalaman.

Malah, kalau diteliti ulasan Rais, UMNO sebenarnya telah tersedia ada enam Naib Presiden, iaitu tiga yang dipilih perwakilan manakala tiga orang lagi de facto - Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri. 

Kalau dari kaca mata politik dunia pun, Jepun gemarkan kepemimpinan yang berpengalaman. Sebilangan besar Perdana Menteri dan menterinya melebihi usia 60 tahun kecuali Shinzo Abe (Perdana Menteri) dan beberapa orang kebelakangan ini. Demikian juga di China, semua pemimpinnya melebihi 50 tahun.

Malah, dari segi amalan untuk seseorang yang menjadi Perdana Menteri di bawah usia 49 tahun, mahu tidak mahu pergerakannya akan sentiasa dikaitkan dengan kegelojohan dan tidak rasional dalam konteks masyarakat pelbagai kaum.

Cuma, kata Rais, beliau agak hairan kerana dalam begitu banyak polemik politik, tidak begitu nampak pencabar-pencabar yang jelas atas kemampuan mewujudkan situasi mengatasi pihak pemegang jawatan masing-masing.

“Kerisauan saya berasaskan semasa era Datuk Harun dan Sulaiman Palestin yang lebih rancak bertanding berbanding hari ini. Sedangkan dengan keadaan sekarang yang mana Perlembagaan UMNO dipinda, kalau sekadar nak jadi pencabar pun lebih mudah. Juga, tidak perlu kuota, dengan situasi itu pun telah terdapat riak-riak tidak begitu ramai muncul di muka pintu nak bertanding dan bersemangat memperjuangkan Melayu.

“Ini nampakkan trend ketandusan pemimpin yang cekal dan berkhidmat untuk parti. Bagaimanapun di satu segi lain, ini menampakkan kejayaan pemimpin, yang timbul rasa hormat, budi bicara dan puas hati oleh leftenan-leftenan di bawah termasuk Naib-naib Presidennya yang masih memberi sokongan meluas kepada pucuk pimpinannya," kata beliau. 

Dan yang agak dibimbangi Rais ialah apabila kurangnya pencabar terhadap penyandang jawatan, besar kemungkinan petanda orang tidak minat lagi dengan UMNO.

Kata beliau: “Imej UMNO sekarang, barangkali tidak semua akan setuju dengan saya, ialah daya tarikannya pada masyarakat umum sudah kendur. Kita tidak nampak lagi ia parti gerakan massa yang sederhana, perbelanjaannya sederhana serta pandangannya berhubung pelbagai isu."

“Yang nak masuk UMNO pula, mereka sekadar ‘masuk sahaja’. Tapi, fahamkah mereka akan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menjadi nadi perjuangan parti itu. Inilah juga yang terjadi di bahagian saya (Jelebu) sendiri, nak dapat golongan muda yang faham perjuangan parti...agak susah," katanya.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyenarai tanggungjawab dan matlamat perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...