Kerajaan bertegas tidak akan berkompromi membenarkan mayat atau abu
pemimpin pengganas komunis, Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi yang mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak bahawa Chin Peng bukannya rakyat Malaysia.
Malah, beliau menempelak pihak-pihak tertentu yang tidak sensitif
dengan perasaan majoriti rakyat terhadap kekejaman komunis semasa zaman
darurat, khususnya ahli keluarga bekas-bekas perajurit negara apabila
menggunakan isu undang-undang bagi 'menghalalkan' kepulangan Chin Peng.
"Kita (kerajaan) tetap dengan pendirian, seperti kata Perdana
Menteri, Chin Peng tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia. Sebabnya, dia
bukan warganegara Malaysia berdasarkan maklumat Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN).
"Sudah tentu kita tahu, kalau mayat atau abunya dibawa balik, akan
ada pihak yang mendewa-dewakan dia sebagai pejuang atau membuat tugu
peringatan. Ini akan menyakitkan hati veteran-veteran anggota
keselamatan dan ahli keluarga mereka atas kekejaman Chin Peng dan
komunis,'' katanya.
Beliau mengulas tindakan pelbagai pihak yang menggunakan isu
undang-undang untuk 'melawan' penegasan kerajaan bagi membolehkan mayat
atau abu Chin Peng dibawa ke negara ini.
Perdana Menteri sebelum ini membuat penegasan untuk melarang mayat
atau abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dan turut menafikan dakwaan
kerajaan melanggar perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM)
di Hatyai, Thailand pada 1989.
Berhubung perkara tersebut, Najib turut mengingatkan pihak yang
berterusan 'berjuang' untuk membawa pulang jasad Chin Peng ke negara ini
bahawa pemimpin komunis itu tidak pernah melakukan sebarang tindakan ke
arah untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian
itu dimeterai.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak gentar dengan
tindakan pihak yang mahu menggunakan isu perundangan bagi mencabar
penegasan kerajaan itu.
"Silakan (cabar). Undang-undang atau tidak, ini bukannya masa nak
lihat dari segi perundangan sahaja tetapi renungkan aspek kekejaman
komunis yang membunuh beribu nyawa termasuk anggota keselamatan.
Renungkan perasaan ahli keluarga mereka, ahli keluarga anggota
keselamatan yang kehilangan orang tersayang semasa zaman darurat,"
ujarnya.
Berhubung tindakan seorang peguam yang mempersoalkan bagaimana pihak
berkuasa mahu "mencipta' kaedah atau bertindak mengenal pasti abu Chin
Peng jika dibawa masuk ke Malaysia, beliau menegaskan, isu perundangan
tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.
"Sekali lagi jangan lihat aspek perundangan, kalau semua lihat
undang-undang sahaja, saya fikir, bagaimana pula dengan perasaan ahli
keluarga, khususnya anak-anak perajurit negara yang terkorban oleh
kekejaman komunis?
"Nak bawa dia (Chin Peng) balik ke sini untuk tujuan apa? Adakah
mereka ini terdiri daripada orang yang simpati dengan pengganas
komunis?'' soalnya.
Kepada soalan tentang pertikaian pihak tertentu yang mendakwa
kerajaan pilih kasih dengan membenarkan jenazah Allahyarham Azahari
Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini, jawabnya
ringkas: "Mereka adalah warganegara Malaysia.''
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...