Pada 15 September lalu, akhbar Nanyang Siangpau
memaparkan pendapat tulisan individu bernama Phang Sin Cai yang mahu
'selarikan' sejarah orang Cina di Tanah Melayu.
Hujahnya tentang sejarah dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan
rakyat tentunya sesuatu yang baik untuk negara tetapi terdapat beberapa
ayat membawa maksud tersirat yang diselitkan penulis dan boleh
mengundang persoalan tujuan sebenar artikel itu dikongsi kepada umum.
Sin Cai membuat hujah persatuan Cina perlu 'menyelaraskan rekod
sejarah' untuk tatapan generasi muda Cina khususnya di sekolah-sekolah
vernakular, umpama rekod sejarah yang diajar di semua sekolah kini salah
dan perlu 'diubah suai'.
Antara perkara yang menimbulkan persoalan termasuk cubaan penulis ini
mengetengahkan 'pejuang daerah Setiawan' ketika isu Chin Peng mahu
'pulang' ke kampung halamannya itu menjadi perdebatan ramai.
Isu 'pejuang daerah' turut dikaitkan dengan penubuhan 100 tahun
persatuan Cina, Sejarah Cheng Ho yang dikatakan menjangkau 600 tahun dan
Bukit Cina, Melaka yang 'dikunjungi' jutaan pelancong dari China setiap
tahun.
Adakah pendapatnya itu secara halus mahu menguatkan agenda segelintir
pihak mahu menukar status orang Cina di negara ini juga sebagai kaum
Bumiputera?
Ada yang akan katakan ini cuma 'terlebih sensitif' terhadap pendapat
seorang individu Cina tetapi penulisannya tentang pepatah 'tiada orang
Cina, tiada bandar', beserta petikan kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad
yang didakwanya menyokong pepatah itu membuatkan artikelnya itu berubah
nada.
Jika benar ini antara cara halus mengubah sejarah untuk 'menjadikan'
orang Cina sebagai bumiputera, maka nyata dengan sengaja ia mengabaikan
fakta bumiputera hanya untuk penduduk kepulauan Nusantara (Malay
Archipelago) dengan sejarah cara hidup serta penempatan ribuan tahun,
bukannya mereka yang berhijrah ke rantau ini 'ratusan' tahun dahulu.
Cubaan mengubah status orang Cina sebagai 'pribumi' juga umpama satu
penghinaan kepada kaum Cina yang memegang teguh bahasa, budaya dan
tradisi nenek moyang mereka yang diwarisi daripada sejarah lebih 2,000
tahun tamadun China.
Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) merangkap Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional
(Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar melihat usaha
meletakkan orang Cina sama seperti bumiputera sebagai aneh.
Menurut beliau, fakta sejarah dan Perlembagaan sendiri boleh
menyangkal keras usaha pihak terbabit kerana status bangsa, Raja-Raja
Melayu, bahasa dan agama telah pun ditafsirkan.
"Orang Melayu contohnya, penting dalam sejarah asal Tanah Melayu dan
warisannya diiktiraf Perlembagaan. Mustahil untuk mereka sangkal fakta
ini mahupun untuk samakan (Bumiputera) dengan bangsa lain.
"Orang Melayu penduduk asal, ada sistem politik, pentadbiran kukuh
dengan Raja, Bendahara, Temenggung dan sebagainya daripada rumpun
kepulauan Melayu sementara orang Cina, peniaga yang berasal dari China,
kelompok dari benua lain," katanya.
Beliau menjelaskan, bilangan penduduk Cina tidak ramai dan tidak
memberi kesan dalam pentadbiran Tanah Melayu ketika itu dan hanya pada
abad ke-19 barulah ramai orang Cina berhijrah ke sini sehingga membentuk
kelompok sendiri dan menguasai ekonomi.
Tambahnya, orang Cina ketika itu dibawa masuk penjajah untuk membantu
ekonomi orang Inggeris dan selepas merdeka, mereka mewarisi penguasaan
ekonomi negara.
"Ketika kita dijajah, hanya ada Residen British dan pembesar Melayu,
tiada pentadbir Cina. British juga hanya berunding dengan Raja-Raja
Melayu dalam pentadbiran.
"Kumpulan penentang (komunis) di zaman Jepun juga bukan berjuang
untuk negara tetapi mahu menyebar ideologi komunis dan membentuk negara
republik dengan menghapuskan sistem Raja-Raja Melayu. Hanya MCA yang
turut serta ke arah kemerdekaan," dakwanya.
Beliau berpendapat usaha mengubah status orang Cina sebagai
bumiputera hanya untuk memporak peranda sejarah negara yang akhirnya
akan membawa kepada pengiktirafan komunis dan Chin Peng.
Baginya, golongan tersebut bukannya mahu menegakkan demokrasi
berperlembagaan tetapi mahu mewujudkan Republik Malaya dengan alasan hak
asasi dan 'demokrasi bebas'.
Abdul Latiff menganggap tuntutan itu tidak rasional, dibuat golongan
nasionalis sempit serta berharap tiada yang berkompromi dan menolak
terus cubaan mengubah tafsiran bumiputera kerana ia boleh menghancurkan
negara.
Beliau juga melihat orang Melayu yang menyokong agenda tersebut hanya
untuk tujuan politik demi menarik undi orang Cina secara bermusim dan
tidak akan berkekalan.
"Terima hakikat ada beza antara penduduk asal dan yang bukan,
Perlembagaan menjaga pengiktirafan ini kerana tidak mahu pribumi
tersia-sia di bumi sendiri.
"Pribumi sudah terima mereka dan berikan kerakyatan, maka mereka juga
perlulah hormat apa yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan,"
jelasnya.
Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara
(MPN), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula menyarankan pihak yang mahu
'menulis semula' sejarah orang Cina di negara ini menerima dahulu yang
buruk bersama yang baik, bukannya membuat tafsiran sendiri.
"Lahir di sini tidak memberikan hak kerakyatan, oleh itu tidak boleh
kata penderhaka seperti Chin Peng sebagai pejuang. Jika mahu selaras
sejarah, kena terima asas utama mereka bukan pribumi dan datang dari
wilayah lain.
"Banyak juga fakta dalam sejarah yang kita tidak tulis seperti
penjahat-penjahat berbangsa Cina yang kononnya pelombong, golongan
gengster, pelacur, tauke penindas buruh Cina dari tanah besar China dan
banyak lagi. Mereka kena terima fakta ini sama, bukan yang baik-baik
sahaja," ujarnya.
Beliau turut mendakwa ideologi komunis dikembangkan di Tanah Melayu
sebelum merdeka kerana mahu membalas dendam terhadap Jepun yang menakluk
sebahagian wilayah China pada 1931 dan bukannya untuk perjuangkan
kemerdekaan negara.
Selain itu, beliau memaklumkan sejarah menunjukkan orang Cina menjadi
tali barut Portugis menyerang Melaka dengan memberi tongkang mereka
kepada tentera penjajah dan membantu British hingga berjayanya
Perjanjian Pangkor.
"Mereka kena terima semua fakta ini dahulu, janganlah buat tafsiran sendiri, ambil sejarah yang baik sahaja," jelas Zainal.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...