Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Barisan Nasional (BN) sentiasa
berusaha menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan popular
semata-mata apabila mengurangkan subsidi minyak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu yang menyebabkan harga
petrol RON 95 dan diesel naik sebanyak 20 sen bukan bertujuan
membebankan rakyat, sebaliknya mahu memperkukuhkan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan pada masa ini menanggung sebanyak RM24
bilion subsidi setahun untuk bahan bakar dan keputusan mengurangkan
kadar subsidi itu dapat menjimatkan sehingga RM3.3 bilion setahun.
"Ini bukan soal popular tetapi sebagai kerajaan yang
bertanggungjawab, kerajaan nak buat kerja yang betul dan tepat. Kerajaan
tidak kisah apabila tindakan menaikkan harga minyak ini akan menjadikan
tidak popular kerana apa yang lebih penting kerajaan mengambil
tanggungjawab demi memastikan ekonomi negara dan kebajikan rakyat
terjamin.
"Selama ini, pemberian subsidi bahan bakar tidak begitu mengenai
golongan sasar apabila orang kaya dan warga asing turut merasai
nikmatnya. Justeru, dengan pengurangan subsidi tersebut wang yang
dijimatkan dapat disalurkan kepada golongan sasar termasuk menerusi
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen.
Dengan kenaikan itu, harga baharu bagi petrol RON 95 ialah RM2.10
seliter berbanding RM1.90 sebelum ini manakala diesel meningkat kepada
RM2 seliter dari RM1.80 dan keputusan itu merupakan sebahagian daripada
proses rasionalisasi subsidi.
Muhyiddin berkata, sekiranya ingin menjadi terus popular, kerajaan BN
boleh memberikan semua subsidi untuk menggembirakan rakyat tetapi
sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negara harus
mengambil tindakan yang tepat.
"Jangan kata kerajaan tak bagi subsidi, tak bantu. Kalau tak bantu,
kita ambil subsidi semua sekali dan kalau nak popular kita bagi semua
subsidi dan akhirnya apa jadi kepada negara kita?
"Penjimatan sebanyak RM3.3 bilion yang kita peroleh itu boleh
disalurkan dalam bentuk peruntukan lain untuk pembangunan negara kita,"
katanya sambil memberitahu keputusan kerajaan menaikkan harga minyak
untuk memastikan ekonomi negara kukuh dan Malaysia terus berdaya saing
dan maju.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan itu juga telah
mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk pakar
ekonomi dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, usaha tersebut bukan sahaja mengukuhkan lagi
kedudukan ekonomi negara, malah turut dapat meningkatkan keyakinan para
pelabur asing.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...