Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM),
Chin Peng adalah petualang negara yang telah berjuang dan berazam untuk
menjadikan tanah air yang dikasihi ini sebagai sebuah negara komunis.
Sehubungan itu, baginda meminta rakyat Malaysia agar mempelajari dan
memahami sejarah negara dengan sebaik-baiknya dan jangan kerana ingin
mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadaikan maruah bangsa
dan tanah air sendiri.
"Sejarah telah menunjukkan bahawa semasa perjuangan mempertahankan
kedaulatan negara kita ini daripada menjadi negara komunis, kerajaan
telah banyak mengeluarkan belanja bagi menghalang tujuan tersebut.
"Nyawa anggota tentera dan polis banyak yang telah terkorban, begitu
juga orang awam yang terbunuh dan mengalami kesengsaraan disebabkan
perbuatan Chin Peng dan pengganas komunis.
"Beta nasihatkan mereka yang cuba menjadi petualang dan menggadaikan
negara ini kepada pihak luar agar segera menginsafi diri dan berhenti
melakukan perkara yang durjana itu," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengucapkan tahniah kepada
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang
telah berganding bahu dalam menjayakan Op Daulat.
Baginda juga berharap semua yang terlibat agar terus bekerjasama dan
sentiasa berkomunikasi supaya segala pergerakan dan hala tuju yang bakal
dilakukan berjalan lancar serta meraih kejayaan yang berkesan, memberi
hasil yang mantap dan cemerlang dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Beta menyeru kepada semua angkatan bersenjata di Malaysia supaya
menanamkan kesetiaan dan rasa cinta kepada negara yang kita kasihi ini
serta menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan hati yang cekal.
"Berjuanglah mempertahankan negara dan janganlah berundur walau setapak pun sehingga titisan darah yang terakhir.
"Dengan menanam sumpah dan tekad inilah, maka seluruh angkatan
bersenjata yang mempertahankan negara ini akan berjuang
bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dihadapi," titah baginda.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...