Malaysia perlu mempunyai perancangan ekonomi yang dilindungi semangat
Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin perkongsian kekayaan dan
kemakmuran semua pihak sehingga ke generasi akan datang.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, justeru
beliau mencadangkan Pelan Tindakan Ekonomi Amanah Negara (Pelan Amanah)
sebagai pelan perancangan untuk mewujudkan model ekonomi yang menjamin
pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia serta memberi perlindungan
saksama kepada setiap lapisan rakyat.
Pelan Amanah mempromosikan integrasi ekonomi di peringkat
antarabangsa dan serantau sebagai polisi pertumbuhan untuk meluaskan
pasaran dan kerjasama merentasi sempadan tanpa mengetepikan kepentingan
negara.
Formulasi dan pelaksanaan Pelan Amanah mesti berada dalam lingkungan
dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang mewakili kontrak
sosial antara rakyat di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis
Pelancaran Meja Bulat Ekonomi anjuran Yayasan Mahkota di Institut Kajian
Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini.
Perbincangan meja bulat itu disertai lebih 30 tokoh ekonomi termasuk
Pengerusi Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr. Kamal Salih; Ketua Ekonomi
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dr. Muhammed Abdul Khalid dan
Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon
Navaratnam.
Menurut Tengku Razaleigh, cabaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-12
(PRU-12) dan PRU-13 memerlukan kerajaan membasmi gejala rasuah,
menangani kenaikan kos kehidupan serta tahap hutang peribadi yang
tinggi.
Katanya, Pelan Amanah yang dicadangkannya itu bermatlamat menjamin
semua lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira bangsa dilindungi
kepentingannya dalam ekonomi negara.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melaksanakan tugasnya walaupun
masalah pengagihan masih kekal. Saya ingin mencadangkan sebuah model
ekonomi yang dapat menggantikan DEB dan mewujudkan masyarakat yang lebih
saksama," katanya.
Dalam pelan berkenaan, Tengku Razaleigh turut menggariskan empat
komponen penting untuk strategi pertumbuhan ekonomi iaitu Pembangunan
Infrastruktur Pantas, Pembangunan Modal Insan, Strategi Pertumbuhan
Industri dan Asas Tani dan Kewangan Islam Komprehensif.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...