Toleransi tahap tinggi
yang ditunjukkan orang Melayu selama ini tidak harus dibalas dengan
perbuatan berbentuk provokasi terhadap agama Islam sehingga boleh
mengundang tindak balas ganas.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
sejak akhir-akhir ini pelbagai perbuatan provokasi dicetuskan
pihak-pihak tertentu dan akibatnya, wujud golongan ekstrem dalam
kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini yang membalas perbuatan
tersebut.
"Saya mengambil contoh kejadian gereja di negeri ini yang dibaling
bom petrol pada bulan lepas. Sebelum ini tidak ada kejadian sedemikian
tetapi apabila ada provokasi termasuk menggantung kain rentang mempunyai
kalimah Allah berhampiran beberapa gereja, maka wujudlah tindak balas
sedemikian.
"Dalam kes Teresa Kok pula, ramai yang memberi komen mengecam pihak
yang memberi tawaran untuk menampar beliau. Jika Teresa tidak mulakan
provokasi, tidak akan ada tawaran demikian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wisma
Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk
Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi
Mohd. Said.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
mengulas tindakan biadab pihak tertentu meletakkan ketulan daging babi
di hadapan sebuah masjid di Cherok Tok Kun, di sini pagi ini.
Mengenai sikap toleransi orang Melayu, beliau berkata, perkara
berkenaan telah terbukti sejak dahulu lagi apabila keluarga minoriti
Cina boleh hidup di perkampungan Melayu tanpa masalah.
"Orang Cina boleh hidup aman damai dalam perkampungan Melayu tanpa
ada masalah, malah boleh membela anjing. Selama ini kita hidup seperti
sebuah keluarga besar kerana sikap toleransi berkenaan tetapi janganlah
dibalas dengan tindakan provokasi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...