Jika ada kajian terhadap penduduk yang paling banyak menghabiskan
masa berpolitik di dunia, mungkin Malaysia berada di tangga teratas.
Ia sudah menjadi semacam suatu ketagihan. Orang Malaysia seolah-olah
tidak boleh hidup tanpa politik. Kalau boleh 24 jam berpolitik. Makan
politik, tidur politik, bola politik.
Mungkin sebab itu, walaupun seluruh negara kecuali Sarawak, baharu
sahaja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diuar-uarkan sebagai ibu
segala pilihan raya, tidak sampai pun sembilan bulan, satu lagi
pilihan raya menjelma.
Jika PRU-13 digelar ibu pilihan raya, mungkinkah pilihan raya kecil
(PRK) yang dicipta ini wajar dipanggil anak pilihan raya?
Seperti mana ibu mengandung yang tempoh bersalin lazim memakan masa
sembilan bulan, mungkinkah kelahiran `anak ini sememangnya telah
dirancang?
Apa pun perancangan dan percaturan pemimpin politik di sebalik
kelahiran `anak pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada
23 Mac depan, masa produktif rakyat Malaysia nampaknya akan terus
terbuang gara-gara politik yang tidak berkesudahan.
Penulis tidak percaya, selepas tarikh 23 Mac itu, para pemain politik
terbabit akan menjalani tempoh berpantang. Sebaliknya penulis lebih
percaya 100 peratus yang mereka akan mencipta premis baru agar dapat
terus-terusan berpolitik sehinggalah ke-PRU akan datang.
Ketaksuban rakyat Malaysia terhadap politik menyebabkan segala
tindak-tanduk, tutur kata termasuk secara inuendo pun berbau politik.
Tidak perlu tunggu ceramah atau kempen pilihan raya, ucapan hari raya pun bernada politik.
Media arus perdana dengan cerita-cerita politik menyokong pemerintah, media alternatif pula menghentam kerajaan yang memerintah.
Lebih hebat lagi, pengguna media sosial secara bebas dan kadang-kala
bagaikan tidak terkawal memberi komen politik terhadap apa jua benda di
atas muka bumi Malaysia.
Justeru, penulis agak terkejut apabila membaca laporan Indeks
Kebebasan Media Dunia 2014 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-147
daripada 180 negara - lebih teruk daripada Myanmar (145) dan Cambodia
(144).
Tambah pelik, kedudukan Malaysia jauh ke bawah berbanding
negara-negara yang menyaksikan kematian wartawan termasuk yang sah
dibunuh ketika membuat liputan.
Menurut laporan itu, ranking dibuat berdasarkan impak negatif
daripada konflik yang berlaku dalam kebebasan maklumat dengan
sesetengahnya dipengaruhi oleh kecenderungan mentafsir keselamatan
nasional secara melampau dan salah sehingga menjejaskan hak melapor dan
memberi maklumat.
Sebenarnya penulis agak keliru bagaimana penilaian dibuat oleh
Wartawan Tanpa Sempadan ketika membuat penyenaraian negara dalam indeks
berkenaan.
Benarkah keadaan media di negara ini lebih teruk daripada di Palestin dan Sudan?
Apa yang pasti indeks tersebut membuatkan segelintir pihak di negara
ini terloncat kegembiraan. Nah! Satu lagi peluru boleh digunakan untuk
`menembak kerajaan, pihak berkuasa dan media arus perdana. Yang
penting, boleh dijadikan isu politik!
Hakikatnya, rakyat Malaysia bebas bercakap tentang apa jua isu di muka bumi ini termasuk mengkritik kerajaan.
Cuma mungkin akhir-akhir ini kebebasan media arus perdana yang agak
tersekat. Bukan disebabkan kongkongan kerajaan sebaliknya ancaman saman
demi saman oleh pemimpin pembangkang yang seolah-olah mahu menutup mulut
organisasi media daripada membuat laporan.
Di Pulau Pinang, negeri yang dikuasai DAP - parti pembangkang yang
paling lantang menuntut kebebasan media - organisasi media tertentu
termasuk Utusan Malaysia dihalang daripada membuat liputan persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hak media untuk melapor dan memberi maklumat, yang menjadi antara
kriteria Wartawan Tanpa Sempadan menilai indeks kebebasan media,
dinafikan.
Mungkinkah ini salah satu faktor yang menurunkan ranking Malaysia dalam indeks kebebasan media?
Jika benar, mungkin pejuang kebebasan media paling lantang yang juga
Penasihat DAP, Lim Kit Siang boleh menasihati anaknya agar memberi
layanan sama rata kepada media dan tidak hanya memeluk organisasi yang
melaporkan perkara yang baik-baik sahaja tentang pentadbirannya.
Mungkin juga politikus veteran ini boleh mempengaruhi pemimpin
pembangkang lain agar tidak menjadikan saman sebagai alat ancaman
terhadap media.
Jika beliau boleh melakukannya, mungkin ranking Malaysia dalam indeks kebebasan media akan naik pada tahun depan.
Dan baharulah pemimpin sepertinya boleh dijadikan teladan kerana bercakap serupa bikin, tidak dilihat hanya tahu berpolitik.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...