Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 21 February 2014

Kajang Penentu Masa Depan Negara...

Cakap-cakap banyak pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jadi Perdana Menteri menerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Mereka percaya ini adalah peluang paling hampir untuk Anwar menjadikan cita-citanya itu satu kenyataan.

Dalam bahasa mudah, kalau Anwar menang pilihan raya kecil kerusi tersebut yang akan berlangsung pada 23 Mac ini, peluang untuk menjadi Perdana Menteri akan terbuka luas. Kepercayaan ini juga yang mungkin mendorong Anwar untuk melakukan apa sahaja asalkan dapat menjadikan dirinya calon di kawasan itu. 


Usaha ini termasuklah "mengarahkan" penyandang kerusi tersebut, Lee Chin Cheh melupakan janji yang ditabur dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul terhadap penduduk yang telah mengundinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. 



Laporan-laporan atau analisis berita yang dipaparkan pula seolah-olah menyatakan Anwar akan menang mudah di kerusi tersebut. Persepsi ini sehingga mereka lupa bahawa pengundi-pengundi juga mempunyai pertimbangan sendiri. 


Dalam hal ini, saya percaya penduduk Kajang bukan tergolong dalam kalangan yang mementingkan diri atau mengundi semata-mata kerana `perjuangan' kelompok kecil yang matlamat akhirnya juga hanya kerana kepentingan diri sendiri.


Pihak-pihak yang cuba menafikan peranan pengundi ini seharusnya sedar pendekatan lama dan ketinggalan zaman tidak harus dicanang-canangkan lagi. 


Hakikatnya, pengundi kini semakin bijak membuat keputusan. Jika calon yang bakal bertanding dikatakan berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri, tentunya para pengundi mempunyai pertimbangan yang lebih besar lagi. Mereka pasti 


Sedar bahawa pilihan raya kecil ini bukan sahaja membabitkan soal masa depan penduduk Kajang tetapi mewakili penduduk negara secara keseluruhannya.


Sehubungan itu, walau apapun yang dicanangkan, jika Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk menyekat "kerakusan" Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, hari penamaan calon pada 11 Mac ini seharusnya menjadi titik tolak kepada parti itu dalam meningkatkan lagi keyakinan pengundi untuk memilihnya dengan meletakkan calon yang betul, bukannya terikut-ikut dengan rentak pihak-pihak tertentu yang meletakkan calon hanya kerana dendam atau kepentingan peribadi.


Pastikanlah calon yang dipilih benar-benar dapat memberi manfaat kepada penduduk Kajang dan yang lebih penting, demi masa depan negara disayangi.
Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...