Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 3 March 2014

Biarkan Zaid Cabar Anwar!


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mahu mencabar Anwar Ibrahim bagi memastikan Khalid Ibrahim tidak disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar (MB) Selangor. 

Dalam erti kata lain, Zaid, bekas anggota PKR dari Kelantan, tidak mahu Anwar, dari Pulau Pinang mengetuai kerajaan negeri. Benar kata Zaid, jika Khalid dari Selangor mahu disingkirkan biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi seperti undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tidak perlulah PKR mencipta PRK yang nyata mengajak pelbagai pihak membazirkan wang. Umpama pada musim kemarau, paip air sengaja dipecahkan. Zaid menyifatkan perbuatan Anwar sebagai 'satu tindakan politik liar yang perlu dihalang dan tidak wajar direstui pengundi-pengundi Kajang'.

Adakah pengundi-pengundi Kajang yang sudah tentu majoritinya 'anak Selangor' juga sekata dengan Zaid? Kata bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu lagi, beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa pembangunan ke Kajang atas dasar hubungan baik dengan pemimpin dalam pakatan pembangkang dan BN. 

Apa pun alasan yang diberi bagi 'melayakkan' dirinya bertanding, Zaid memang berhak bertanding. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya kecuali 'halangan' undang-undang. Jika Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang boleh bertanding kenapa tidak Zaid yang bukan wakil rakyat?

Dalam peraturan pilihan raya, tidak ada sekatan mana-mana individu bertanding di luar kawasannya bermastautin atau dilahirkan. Jika ada sekatan yang mengehadkan anak negeri bertanding di negeri berkenaan, sudah tentu ramai yang tidak layak menawarkan diri. Sekadar contoh, Lim Guang Eng dan bapanya Lim Kit Siang dari mana? Berapa tempat atau negeri yang sudah mereka jelajah? 

Lebih bertuah adalah Guan Eng yang suatu masa dulu menjadi wakil rakyat di Melaka tetapi nasib menyebelahinya di Pulau Pinang apabila dilantik sebagai ketua menteri (KM). Kini giliran Anwar, anak Cherok Tok Kun mencuba nasib di Selangor dengan harapan dapat menjadi MB seperti rekod yang dicipta Guang Eng. Dulu di Pulau Pinang, ramai anak negeri itu yang bertanding sama ada melalui DAP, Gerakan dan MCA tetapi mungkin semuanya tidak layak diangkat sebagai KM. 

Kenyataan Zaid nampak lebih jelas untuk tidak melihat Anwar sebagai MB berbanding Pas yang masih 'tarik tali' berhubung jawatan tersebut. Ada yang berkata, jawatan MB perkara lain sedangkan hasrat sebenar Anwar sudah diketahui umum. Pas menegaskan bahawa jawatan MB Selangor bukan hak eksklusif PKR sebaliknya ditentukan menerusi kesepakatan. Apakah maksud kesepakatan? 

Langkah pertama ialah PKR, Pas, DAP (3P) sepakat untuk memastikan kemenangan di Kajang dan kemudian mencari kata sepakat melantik Anwar sebagai MB. Inilah 'pencak silat' yang berlaku. Seperti diselak sebelum ini, 'Pas tetap Pas' dan 'DAP tetap DAP' - Pas akan setuju, DAP akan patuh sebarang langkah Anwar. 

Penolakan terhadap Anwar sebagai MB hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud ketegasan seperti yang dinyatakan oleh Zaid. Tidak perlu lagi parti politik menggunakan ayat 'berlapik' kononnya untuk memperlihatkan kesepakatan. Persoalannya adakah Zaid secara bersendirian mampu melaksanakan hasratnya itu yang mungkin juga menjadi harapan anggota, penyokong dan pengundi setia Pas? 

Bersediakah mereka yang mengundi Pas memilih Zaid bagi membuktikan mereka menolak Anwar? Tanpa parti, adalah sukar bagi Zaid untuk mendapatkan sokongan tetapi sejarah Selangor membuktikan calon Bebas berpeluang menjadi ADUN dan popular dalam kalangan rakyat. Cuma itu situasi dulu. Hari ini lain. 


Mungkinkah Zaid cuba memenangi sokongan daripada pengundi/penyokong Pas, pengundi BN serta pengundi 'atas pagar'? Begitu juga dengan penyokong Khalid yang mahu menyelamatkan MB itu. Mungkin masih ada saki-baki anggota PKR yang menyokong Zaid. Diselak kembali kisah Zaid, beliau adalah calon PKR bagi PRK Hulu Selangor pada 25 April 2010. Ketika itu, Anwar serta Khalid bertungkus-lumus berkempen untuk Zaid bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang kosong berikutan kematian Dr. Zainal Abidin Ahmad. 

Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana Anwar yang ditemani S.Nallakaruppan menari-nari di salah satu pentas kempen. Zaid akhirnya kecundang kepada calon BN. Kali ini, jika Zaid tidak berubah fikiran pada saat akhir, beliau akan berhadapan dengan jentera bekas dua orang panglima kempennya iaitu Anwar dan Khalid. Mampukah Zaid menghadapi jentera yang lebih besar ini?

Memang tidak sukar untuk meramalkan nasib Zaid di Kajang kecuali keputusan luar biasa pengundi. Begitu juga jika BN bertanding. Jika BN tidak bertanding, perebutan akan melibatkan calon PKR bersama dua atau tiga calon Bebas. Mungkinkah calon Bebas lain terdiri daripada bekas anggota DAP dan Pas? Mungkin juga seorang dua yang pernah menjadi rakan Anwar sendiri. Tentunya pertandingan ini menarik apabila berlaku 'peperangan' melibatkan bekas anggota 3P serta rakan Anwar. 


Ketika Pas masih bermain 'tarik tali', DAP sudah tentu tidak ambil kisah siapa MB. Apa yang penting ialah pembangkang menguasai Selangor. Selepas Pulau Pinang, DAP mengharapkan Selangor sebagai pangkalan kedua untuk meneruskan langkah ke Putrajaya. 

Maka dua hari sebelum pengundian, DAP menyusun makan malam meraikan 'Dari Kajang ke Putrajaya' di Sungai Chua. Makan malam berbayar itu mungkin penutup kempen bagi menyokong Anwar sebagai ADUN Kajang seterusnya sebagai MB baharu.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

  1. ape salahnya zaid bertanding??? apo masalah ehhh? masing2 pasti ada penyokongnya yang tersendiri....

    ReplyDelete

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...