Sebelum ini, selepas rakyat Malaysia dikhabarkan tentang berita Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki Jepun,
mereka dikejutkan pula dengan berita perletakan jawatan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kajang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin
Cheh tanpa sebarang alasan.
Pengumuman perletakan jawatan itu diumumkan pada 27 Januari lalu yang
seterusnya menimbulkan tanda tanya kerana pasukan Pakatan DAP-PKR-Pas
telah menang besar, 44 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke -13-(PRU-13) di
Selangor.
Ekoran peletakan jawatan secara tiba-tiba itu, gosip politik berlegar
sekitar kemungkinan Ketua Umum PKR itu bercita-cita menjadi Menteri
Besar Selangor. Ini sudah tentu di luar kelaziman dan jika berlaku
tentunya menjadi sejarah apabila ahli parlimen di negeri lain menjadi
menteri besar di sebuah negeri lain.
Anwar sekali lagi mempamerkan kemahiran bersilat lidah apabila pada
mulanya beliau menafikan khabar angin akan bertanding di PRK Kajang,
iaitu pada hari yang sama Chin Cheh mengosongkan kerusi.
Namun tidak sampai 24 jam selepas penafian tersebut dalam sidang
akhbar yang turut dihadiri oleh Penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen
Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar diumumkan
akan bertanding bagi mempertahankan kerusi PKR diKajang. Serentak itu
juga, road show Anwar terus bermula di Kajang.
Sedangkan ketika Anwar mengumumkan untuk bertanding itu Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan mengenai kekosongan tersebut malah
belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Ini adalah kali kedua pilihan raya kecil izin dalam paksa diadakan
semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar tetapi kini segalanya
musnah selepas kes beliau di Mahkamah Rayuan tidak memihak kepadanya.
Pada 2008 isterinya dan juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh
beberapa bulan setelah PRU-13 untuk memberi laluan kepada Anwar.
PRK Kajang itu juga menyebabkan sidang DUN Selangor yang sepatutnya
bermula pada 17 Mac 2014 ditangguh pada 7 April 2014. Ia dibuat
semata-mata menunggu ADUN Kajang yang baharu berada di dalam Dewan
Undangan Negeri.
PRK Kajang - Kajang Move berkemungkinan penting bagi PKR untuk
menyelesaikan kemelut dalaman mereka. Pergeseran adik beradik untuk
mendapatkan kasih bapanya di dalam PKR bukanlah satu rahsia lagi.
Pertembungan Abdul Khalid vs Azmin semakin terbuka. Bahkan dalam
sidang DUN Selangor, label orang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan
orang Abdul Khalid juga berlaku. Banyak episod pelik dan pergolakan
dalaman parti yang menimbulkan pelbagai spekulasi. Ini termasuk kes
pemecatan Azmin dari Lembaga PKNS.
Kajang Move juga tentunya tidak boleh lari dengan Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli. Pada mulanya, Rafizi mengakui perletakan jawatan Chin
Cheh itu memang satu strategi pakatan untuk kekal kukuh di Selangor.
Tetapi apabila melihat mood rakyat tidak gembira dengan perletakan
jawatan Chin Cheh tanpa munasabah itu, Rafizi cuba membetulkan keadaan
dengan memohon maaf kepada pengundi di Kajang yang terpaksa melalui satu
pilihan raya kecil yang tentunya akan memakan masa dan wang.
Dalam kalangan ADUN Selangor mereka hanya senyum sinis apabila Rafizi
berhujah, kehadiran Anwar ke Selangor kononnya dikatakan cukup penting
bagi menghalang Barisan Nasional (BN) menjadikan situasi darurat sebagai
alasan merampas negeri Selangor.
Kenyataan seperti itu seolah-olah meremehkan daya juang dan pemikiran
strategik ADUN-ADUN Pakatan di negeri Selangor. Sedangkan mereka telah
menang 44 kerusi di Selangor pada pilihan raya umum lalu.
Kajang Move semakin celaru apabila Abdul Khalid menandatangani
perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat berkaitan isu air.
Seperti ada yang tidak kena, Rafizi tampil mendakwa MoU semula industri
air Selangor merupakan satu kerugian buat rakyat di negeri itu. Ini
jelas menunjukkan pertikaian dalaman yang sepatutnya diselesaikan di
peringkat dalaman PKR telah menjadi perbincangan awam.
DAP pula sebagai rakan dominan dalam Pakatan tidak akan untung
mahupun rugi dalam percaturan ini. Biar siapa pun menggantikan Abdul
Khalid sebagai MB Selangor, ia tidak akan membawa sebarang perubahan
kepada imbangan kuasa DAP dalam pentadbiran Selangor.
Dengan tiga wakil rakyat dalam barisan exco Selangor, juga satu
speaker dan dua sebagai exco kanan, DAP masih akan kekal menguasai
pentadbiran negeri Selangor buat penggal ini.
Yang kekal rugi dalam percaturan PKR ini ialah Pas, sebagai sebuah
parti di dalam Pakatan yang memiliki jumlah kerusi yang sama banyak
dengan DAP mengatasi jumlah kerusi PKR di dalam DUN Selangor. Walaupun
mempunyai 4 orang exco negeri, ternyata Pas adalah parti yang tidak
bersedia memimpin. Atau setelah mengukur baju di badan sendiri, Pas
mengakui yang sememangnya mereka belum berani mentadbir sebuah negeri
maju. Atau mungkin mereka bagaikan khayal meragut rumput kering yang di
hidangkan oleh rakan tahaluf siyasi mereka.
Timbul persoalan berkenaan Kajang Move. Apakah perancangan Kajang
Move mengambil kira kes Anwar di Mahkamah Rayuan? Adakah pasukan
strategik mereka terlepas pandang atau terlalu yakin Anwar akan menang?
Adakah pelan mahu menukar Abdul Khalid sebagai Menteri Besar masih
berjalan? Atau mungkin Wan Azizah tidak berupaya menolak bisikan untuk
bergelar menteri besar wanita pertama.
Jika itu perancangannya ternyata meletakkan Wan Azizah adalah strategi terbaik untuk memastikan legasi Anwar.
Chew Mei Fun merupakan calon BN untuk PRK Dun Kajang. Beliau pernah
meletak jawatan Ketua Wanita MCA atas ikrar dan prinsip ketika
pemilihan MCA 2010. Jika benar mengundi Cina celik politik, inilah masa
untuk memberikan suara wakil MCA dalam sidang DUN Selangor. Kini 12
suara pembangkang di Selangor sekarang ini semuanya adalah dari UMNO.
Tetapi pada masa sama jangan lupa politik air mata yang dimainkan
pakatan pembangkang. PRK Kajang akan menjadi alat propaganda mata,
seperti PRU 1999 mata lebam Anwar dijaja di mana-mana. PRU-2008, air
mata Nik Aziz ditampal di setiap tiang dan tidak mustahil PRK Kajang
air mata Azizah menjadi bahan kempen untuk mengusik emosi para
pengundi.
Yang pasti, Kajang menjadi tumpuan seluruh negara bukan sahaja kerana
Sate Kajang. Di saat kita simpati dan berduka atas insiden kehilangan
pesawat MH370, Kajang menjadi saksi kepada pendekatan taktikal separuh
masak Pakatan.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...