Pesawat Malaysia Airlines (MAS) tidak akan hilang begitu sahaja.
Semuanya ada sebab-musabab. Saya doakan semasa tulisan ini dalam proses
percetakan atau semasa ia sedang dibaca, MH370 akan ditemui.
Mustahil ia boleh hilang begitu sahaja. Kecualilah jika ada satu
`konspirasi maha besar melibatkan unsur-unsur duniawi atau alam ghaib,
insya-Allah pesawat itu akan ditemui.
Bercakap mengenai konspirasi alam duniawi, ada bermacam-macam teori
telah timbul. Yang menakjubkan ia ditulis dengan begitu terperinci,
logik dan teliti sekali. Jika diikut akal ada logiknya. Misalnya melalui
tulisan yang sedang berlegar sekarang oleh `al-faedah berhubung soal
`red flag atau false flag.
Saya tidak mahu mengulas mengenai tulisan itu, tetapi cukup kagum
juga dengan usaha yang diambil oleh penulis itu untuk menulisnya dengan
begitu detail sekali. Sehingga saat ini saya masih cuba menyelami
teorinya dan cuba membaca fikirannya.
Saya juga tertarik untuk memikirkan mengenai teori peralatan simulasi
yang dimiliki oleh juruterbang itu dan haluan politiknya. Bagi saya
tidak adil untuk mengaitkan semua itu dengan juruterbang berkenaan -
waima ia logika sekalipun.
Jika dikaji dari segi usaha mencari dan menyelamat, sudah tentu
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai operasi itu akan menolak
mentah-mentah semua teori itu.
Tetapi dalam dunia alam maya ini pelbagai teori boleh dilahirkan oleh
sesiapa pun di luar sana. Ia lebih membabitkan naluri manusia dan itu
adalah normal.
Jika semasa tragedi pesawat terhempas di Pasir Gudang pada 1977 dulu,
pelbagai spekulasi berkisar kepada cakap mulut dan akhbar sahaja, dunia
digital sekarang telah mengubah sama sekali landskap komunikasi.
Maka itu, terpulanglah kepada kita di alaf baru ini untuk menilai dan memperhalusi maklumat-maklumat sedemikian.
Anggaplah ia sebagai "masuk ke kiri keluar telinga kanan" atau ia
akan tertanam di fikiran kita? Atau adakah kita akan terpengaruh dengan
pendapat-pendapat itu dan kemudian potong dan tampal tulisan-tulisan itu
sehingga ia bercambah-cambah di media sosial? Atau, mungkin ia boleh
dijadikan satu kajian imperikal saintifik kemudian hari?
Episod MH370 ini sebenarnya ada hikmahnya. Semua rakyat Malaysia kini
bersatu - bersatu untuk mencari jalan, idea, mencipta teori, mengesyor
cadangan dan sebagainya - membantu secara tidak langsung untuk merungkai
misteri ini.
Walaupun ia tidak akan berupaya untuk mempengaruhi operasi DCA dan SAR, namun ia adalah amat positif.
Positif kerana rakyat Malaysia, sejak sekian lama atas kecelaruan
politik, sudah bercakap dalam satu bahasa mengenai satu isu, iaitu
mengenai nasib MH37 - dan, bukan lagi mengenai verdict Anwar bin Ibrahim
dan nasib politiknya, selepas kurang 12 jam kes rayuannya diumumkan
mahkamah!
Ingatlah rakyat Malaysia yang dikasihi, percayalah Allah pernah
berfirman "mesti ada jalan keluar". Dalam episod pesawat malang MH370
ini, marilah kita terus berdoa dan bersolat hajat. Amin.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...