Fahaman liberal ini boleh diumpamakan seperti penyakit kanser
pemikiran yang sudah mencapai tahap tinggi iaitu tahap empat. Sebab
dikatakan begini kerana dalam pemikiran liberal terdapat
sekurang-kurangnya empat virus pemikiran yang sangat berbahaya.
Pertama adalah virus relativisme. Ia adalah satu virus pemikiran yang
membuat seseorang itu meyakini bahawasanya tidak ada kebenaran mutlak
termasuk kebenaran agama.
Semua kebenaran bersifat relatif. Maka dia akan beranggapan semua
agama sama, semua agama benar, semua agama sama-sama menuju syurga dan
semua agama tidak ada perbezaan. Akibat virus relativisme yang ada dalam
pemikiran seseorang, akhirnya orang itu bersikap menjadi pluralisme.
Kedua adalah virus skeptisisme. Kalau seseorang sudah terlalu lama
menganggap tidak ada kebenaran mutlak, maka lama kelamaan dia akan ragu
dengan kebenaran.
Dia menjadi ragu dengan kebenaran agama dan tidak yakin kalau agama
itu mampu menangani urusan perekonomian, perniagaan, politik dan urusan
negara. Dia hanya meyakini agama itu adalah urusan ibadah, solat, puasa,
zakat dan haji sahaja.
Kalau orang sudah kena virus semacam ini, maka dia akan bersikap
untuk memisahkan antara urusan agama dengan urusan negara atau sering
disebut sebagai sekularisme.
Ketiga, virus agnostik. Ini terjadi apabila seseorang itu tidak
peduli lagi dengan kebenaran agama. Sehingga dalam menentukan sesuatu
itu baik atau buruk, benar atau salah, dia tidak lagi memakai ukuran
agama, sebaliknya dia akan memakai ukuran kebendaan. Apa-apa yang boleh
mendatangkan hasil kebendaan, itu benar.
Orang yang terkena virus ini tidak peduli lagi dengan halal dan
haram. Contohnya aktiviti judi, pelacuran dan minuman beralkohol akan
dibenarkan mereka kerana ia boleh mendatangkan hasil. Selama ada hasil
walaupun haram, maka dia tetap akan terima.
Keempat, virus ateis. Mereka yang dijangkiti virus ini tidak percaya
dengan agama. Dia menolak kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan, dia menolak
kewujudan Muhammad SAW sebagai Rasul dan dia menolak apa sahaja yang
menurut dia tidak realistik. Syurga dan neraka tidak kelihatan di mata,
tidak boleh dibuktikan. Jadi mereka menolak kebenarannya, jadi semuanya
serba rasionalisme.
Apa yang berlaku jika dijangkiti semua virus terbabit?
Seorang liberal sejati, dia sudah terhinggap dengan empat virus tadi.
Maka, kalau seseorang itu sudah pada puncaknya menjadi ateis, dia sudah
tidak peduli dengan kebenaran agama. Bagi dia maksiat dan taat sama.
Bagi dia, orang boleh ke masjid, silakan. Mahu ke tempat pelacuran
juga silakan. Masjid dan tempat pelacuran mahu diletakkan secara
berdampingan pun tidak apa-apa.
Yang satu ada tenaga taat dan yang satu ada tenaga maksiat. Kedua-dua
tenaga ini menciptakan keseimbangan di dunia. Itu pemikiran-pemikiran
liberal.
Kenapa Anwar dikaitkan dengan fahaman liberal?
Memang Anwar kalau datang ke Jakarta, dia banyak berkumpul
bersama-sama kelompok liberal. Kita orang Indonesia, kita tahu siapa
orang Indonesia yang liberal dan siapa yang bukan.
Kita tidak faham apakah Anwar tahu mereka liberal atau tidak? Tetapi
yang jelas, datangnya Anwar ke Indonesia lebih banyak berkumpul dengan
kelompok-kelompok liberal. Kelompok yang memang di Indonesia ini
bermasalah dan selalu buat masalah.
Salah satu buktinya adalah apabila Anwar menyertai dialog di
Komunitas Salihara, Jakarta. Salihara itu adalah komuniti liberal yang
memperjuangkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
di Indonesia.
Jadi saya fikir sebagaimana Nabi Muhammad SAW mengatakan dalam satu
hadis, kalau kita mahu tahu seseorang itu, lihat siapa kawannya. Kalau
dia berkawan dengan liberal, pemikirannya akan terpengaruh ke sana.
Bagaimanakah pemikiran golongan liberal Indonesia?
Pemikiran-pemikiran liberal yang saya sebut, di Indonesia sudah
sampai setakat itu pemikiran liberalnya. Jadi orang seperti dalam
pimpinan Jaringan Islam Liberal Indonesia, pimpinan majalah (isu semasa)
dan lain-lain, pemikiran liberal mereka sudah sampai setakat itu, yang
empat itu. Kerana itu kita tolak, kerana itu semua bertentangan dengan
ajaran Islam.
Bagi liberal di Indonesia, orang lelaki berkahwin dengan lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan, itu hak asasi manusia.
Perjuangan kelompok liberal sudah sampai sehingga ke Parlimen dan
berupaya mendesak supaya wujud satu undang-undang yang membolehkan LGBT
dan perkahwinan sejenis disahkan dan mendapat surat nikah.
Tetapi kita NGO-NGO Islam terus melakukan perlawanan dan sampai hari
ini mereka belum berhasil meluluskan undang-undang itu. Kita akan lawan
terus dan tidak akan boleh berhasil.
Tokoh-tokoh yang memperjuangkan itu adalah kawan-kawan Anwar. Saya
tidak faham, apakah Anwar tidak tahu mereka ini adalah tokoh-tokoh
pejuang liberal di Indonesia atau memang Anwar faham, kemudian
mewujudkan satu rangkaian dengan mereka. Wallahualam.
Adakah seorang liberal masih Islam?
Seorang liberal sejati, dia bukan Islam. Erti liberal sejati begini, keempat-empat virus tadi sudah ada dalam pemikiran dia.
Seorang liberal sejati tidak akan solat. Seorang liberal sejati tidak
akan ke masjid dan seorang liberal sejati tidak akan puasa Ramadan.
Tetapi kalau seorang liberal masih solat, dia baru setengah liberal.
Ertinya kalau mereka ke Amerika Syarikat (AS), mereka masih dianggap
setengah kafirlah.
Bagaimana menangani dakyah golongan liberal?
Kita di Indonesia, kita berdialog dan berdiskusi dengan golongan ini.
Mereka pula menggunakan cara-cara yang ilmiah dan argumentative apabila
berdialog dengan kita. Tetapi kalau mereka sudah lebih condong kepada menista dan menghina
agama, tentunya kita tidak lagi menghadapi mereka dengan dialog.
Kita menghadapi mereka dengan proses hukum. Kita seret mereka ke mahkamah atas penghinaan yang mereka lakukan.
Contohnya, seorang liberal mengarang sebuah buku dengan mengatakan
bahawa al-Quran adalah hasil kongkalikung antara Muhammad SAW dan para
sahabat.
Ini penghinaan, jadi kita melihat ini bukan minta dialog, ini menghina, lalu kita seret ke proses hukum di mahkamah.
Bagaimana kaedah golongan liberal menyebarkan dakyah?
Di Indonesia mereka berhasil masuk ke legislatif, badan kehakiman dan
eksekutif. Mereka berhasil masuk ke lingkaran pegawai-pegawai kerajaan
kerana pegawai itu orang awam dan tidak mengerti agama. Mereka lebih
mudah menjadi mangsa pemikiran kaum liberal. Majoriti media massa di
Indonesia juga dikuasai golongan liberal.
Sebab-sebab orang mudah termakan dengan pemikiran-pemikiran liberal
kerana hujah-hujah yang disampaikan disertakan dengan kajian ilmiah dan
bercorak akademik serta bahasa-bahasa yang moden, seolah- olah ini
adalah hasil karya cendekiawan.
Ini menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan di Indonesia merasa ketinggalan zaman kalau tak mengikut pemikiran liberal.
Sebetulnya masalahnya sama dengan di Malaysia. Hanya mungkin bezanya
gerakan liberal di Indonesia sudah sampai ke titik yang sangat
membahayakan.
Di Indonesia kita ada pemimpin-pemimpin yang liberal.
Bagaimana pula penularan dakyah sama di Malaysia?
Saya fikir di Malaysia ini ada beberapa universiti yang memang sudah mulai menjadi sarang pemikiran mereka.
Jangan lupa tokoh liberal internasional, Amina Wadud (yang pernah
menjadi imam solat Jumaat di AS) pernah menjadi pensyarah di Malaysia.
Kemudian beberapa tokoh liberal dari Turki dan sebagainya juga pernah
menjadi pensyarah di Malaysia.
Ertinya kita tidak menutup kemungkinan, kalau saat mereka menjadi
pensyarah di Malaysia, mereka sudah menularkan pemikiran-pemikiran
mereka.
Realitinya di Malaysia mungkin pemikiran liberal belum sampai
mempengaruhi masyarakat luas, tetapi setakat di kalangan ahli akademik
dan di universiti sahaja.
Kenapa situasi di Malaysia berbeza dengan Indonesia?
Bagusnya di Malaysia, pihak kerajaan meletakkan batasan-batasan yang
tidak melepas secara bebas orang berbicara liberal, contohnya di
televisyen.
Kalau di Indonesia sudah bebas betul. Orang boleh berbicara liberal di televisyen, radio dan di akhbar-akhbar.
Kalau di Malaysia, masih terkontrol. Contohnya di negara ini kita
boleh lihat, Syiah dan Qadiani tidak boleh bergerak bebas, begitu juga
liberal. Ertinya ada kontrol negara. Di Indonesia kontrol negara tidak
ada.
Sebetulnya kalau soal liberal ini, di Indonesia ada dan di Malaysia
juga ada. Bezanya di Malaysia ada kontrol kerajaan, tidak boleh
sebarangan.
Apa akan berlaku jika kerajaan pembangkang membuang kontrol ini?
Kalau di Malaysia tidak dikontrol, pada masa depan ia akan sama
dengan Indonesia. Golongan liberal akan semakin bermaharajalela. Maka
itu, saya mendukung negara Malaysia kontrol terhadap pemikiran-pemikiran
semacam itu demi kesatuan umat dan bangsa Melayu.
Kalau semua pemikiran boleh bebas disampaikan di Malaysia, kacau jadinya kita nanti, semacam yang terjadi di Indonesia.
Jadi saya fikir kalau dari segi kontrol ini, umat Islam tidak boleh
berbeza. Daripada Barisan Nasional (BN) atau parti mana pun, selama dia
muslim, wajib untuk mendukung, negara mengontrol aliran sesat ini.
Apakah nasihat kepada rakyat Malaysia?
Malaysia mesti diselamatkan. Daripada parti mana pun, kalau dia
mengusung fahaman liberal, tidak boleh didukung rakyat. Liberal itu
musuh Islam, musuh bangsa Melayu dan musuh kita semua.
Bagaimana pula Pas yang seolah-olah menyokong liberal?
Kalau parti secara terang-terangan menyokong liberal, bererti dia parti liberal, walaupun dia memakai simbol-simbol keagamaan.
Seorang Muslim yang sejati, manakala dia terlibat dalam politik,
tidak boleh melepaskan iman dan takwa. Jangan kerana kepentingan
politik, yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan. Menghalalkan
segala-galanya, itu bukan politik Islam.
Kalau ada parti mengaku parti Islam, tetapi tidak memperjuangkan
Islam, itu namanya parti jualan Islam. Dia menjual Islam supaya orang
Islam pilih parti itu, tetapi pada hakikatnya dia tidak memperjuangkan
Islam.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...