Darahsatriadotcom

Followers

Saturday 8 June 2013

Laman Web Perlu Berlesen?

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan undang-undang tertentu untuk mengawalnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik. 


Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang. 


Kawal internet

Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi serta mengelak ancaman pengganas.

“Kita akan pantau perkara ini. Ada sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari; Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi; Pengerusi TM, Datuk Seri Dr Halim Shafie; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa. 


Taklimat operasi TM

Pada lawatan itu, Ahmad Shabery diberi taklimat mengenai operasi TM dan perkembangan industri telekomunikasi di negara ini, selain merasmikan jejambat yang menghubungkan Menara TM dan dua bangunan pejabat syarikat berkenaan di kawasan setempat, iaitu TM Annexe 1 dan 2.

Laporan akhbar sebelum ini memetik kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, menggesa kerajaan mencontohi langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah untuk menyekat kebebasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...