Memang meriah suasana pada hari penamaan calon pemilihan UMNO yang
berlangsung Sabtu lalu. Setakat ini sudah nampak tanda-tanda saingan
sengit dijangka berlaku termasuk di peringkat bahagian berikutan ramai
yang menawarkan diri. Jelaslah berlaku penawaran diri beramai-ramai
untuk bertanding yang memperlihatkan proses demokrasi dalam UMNO yang
cuba disegarkan mendapat perhatian anggota UMNO. Mereka berani mencuba
untuk melakukan perubahan walaupun kemungkinan ada sesetengahnya sekadar
mahu memperkenalkan diri sebelum berada pada arus perdana perjuangan
parti.
Begitu juga dengan Majlis Tertinggi (MT) yang menampilkan enam
calon untuk jawatan naib presiden yang menggabungkan tiga menteri
Kabinet (penyandang), menteri besar, bekas ketua menteri dan bekas
menteri besar. Sebanyak 64 calon MT yang menawarkan diri turut menarik
perhatian ramai. Calon-calon ini menampilkan orang lama, orang muda dan
muka baharu, barisan Kabinet dan di luar Kabinet. Mereka ini mempunyai
pelbagai latar belakang atau profesion termasuk pengamal undang-undang,
ahli akademik dan tokoh agama. Adunan pelbagai latar belakang pemimpin
serta gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu ini amat penting.
Jika dilihat jumlah calon di peringkat MT, mungkin ia boleh dianggap
tidak begitu ramai kerana berdasarkan sistem yang diperkenalkan tahun
ini, sesiapa juga anggota UMNO yang pernah menganggotai jawatankuasa
bahagian selama sepenggal layak menawarkan diri untuk jawatan MT. Jumlah
64 orang bolehlah dianggap kecil kerana pada kali ini, pencalonan tidak
memerlukan kuota seperti amalan pemilihan pada masa lalu. Kenapa?
Adakah ramai yang tidak berminat? Kurangkah mereka yang mempunyai
semangat untuk memimpin? Mungkinkah mereka menjangka hanya yang ada
nama dan kedudukan sahaja bakal dipilih? Sebelum ini, ada yang mahu
bertanding tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gagal memperoleh
pencalonan yang mencukupi.