Pada 15 September lalu, akhbar Nanyang Siangpau
memaparkan pendapat tulisan individu bernama Phang Sin Cai yang mahu
'selarikan' sejarah orang Cina di Tanah Melayu.
Hujahnya tentang sejarah dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan
rakyat tentunya sesuatu yang baik untuk negara tetapi terdapat beberapa
ayat membawa maksud tersirat yang diselitkan penulis dan boleh
mengundang persoalan tujuan sebenar artikel itu dikongsi kepada umum.
Sin Cai membuat hujah persatuan Cina perlu 'menyelaraskan rekod
sejarah' untuk tatapan generasi muda Cina khususnya di sekolah-sekolah
vernakular, umpama rekod sejarah yang diajar di semua sekolah kini salah
dan perlu 'diubah suai'.
Antara perkara yang menimbulkan persoalan termasuk cubaan penulis ini
mengetengahkan 'pejuang daerah Setiawan' ketika isu Chin Peng mahu
'pulang' ke kampung halamannya itu menjadi perdebatan ramai.