Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 19 March 2014

Kajang : Anwar atau Pengundi Lebih Penting?

Sejak awal lagi, umum menyedari bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) N.25 Kajang adalah satu sandiwara. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut kosong bukannya disebabkan penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan, tetapi semata-mata untuk membolehkan PKR melaksanakan satu percaturan politik yang disebut sebagai ‘Kajang Move’. 

Kononnya PRK Kajang adalah satu langkah politik yang penting lagi simbolik untuk membolehkan pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN). 

Walaupun secara warasnya kedudukan Kajang yang hampir dengan Putrajaya tiada kaitan langsung dengan logik yang dicanang oleh pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, tetapi itulah yang dijaja oleh para arkitek ‘Kajang Move’ sebagai penyedap cerita. 

Kononnya, apabila menang kerusi DUN Kajang, Anwar akan dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor dan seterusnya memimpin pakatan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Kepada pengundi DUN Kajang, mereka digula-gulakan dengan janji seorang Menteri Besar mewakili mereka dalam Kerajaan Negeri Selangor berbanding seorang ADUN biasa.

Di sebalik wayang politik ini, ada cerita yang lebih real. Konflik antara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali sedang melemahkan PKR di Selangor. Pertelagahan antara dua gergasi PKR ini sudah menjadi rahsia umum yang tidak boleh disembunyikan lagi. 

Silap haribulan, perseteruan antara mereka akan menyebabkan pakatan pembangkang menghadapi laluan yang sukar untuk mempertahankan Selangor dalam PRU-14 nanti. 

Bagi Anwar, Khalid mesti disingkirkan. Tiada individu lain yang boleh menyingkirkan Khalid daripada kerusi empuk MB Selangor melainkan dirinya sendiri.

Selain itu, Anwar sendiri sedang menghadapi masalah peribadi yang kronik. Kes liwat beliau merupakan penentuan penting hayat politiknya. 

Jika diperhatikan gaya politik Anwar sebelum ini, beliau gemar memberi tekanan kepada lawan politik dengan mengheret rakyat dalam gelanggang krisis peribadinya. 

Tindakan awal Anwar mengumumkan bertanding di DUN Kajang adalah satu langkah terancang untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan mahkamah supaya melepaskan dirinya daripada terus terjerat dalam kancah masalah peribadinya sendiri. 

Walau apa pun sandiwara Anwar, rakyat khususnya pengundi DUN Kajang boleh menilai secara rasional. Tujuan mengadakan pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada orang ramai. 

Jika wakil rakyat yang telah dipilih masih boleh meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat, mengapa perlu kerusi pilihan raya dikosongkan untuk memberi laluan kepada calon lain daripada parti yang sama bertanding? 

Bukankah ini satu kerja sia-sia yang tidak memberikan apa-apa manfaat kepada pengundi? Mengosongkan kerusi pilihan raya tidak wajar dibuat secara sewenang-wenang tanpa ada sebab yang kukuh. 

Apatah lagi logik ‘Kajang Move’ yang diuar-uarkan oleh PKR sudah tidak relevan lagi. Selepas Anwar hilang kelayakan untuk bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi beliau, hujah menjadikan PRK Kajang sebagai pembuka laluan untuk Anwar mengambil alih Putrajaya tidak dapat dipertahankan lagi. 

Janji hadiah seorang Menteri Besar untuk pengundi Kajang juga tidak akan dikota kerana mustahil Wan Azizah akan menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Umum mengetahui Wan Azizah bersama siapa dalam konflik Khalid-Azmin. 

Belum sempat sandiwara Kajang mencapai kemuncak, plot ceritanya menjadi semakin huru-hara. Kempen PKR di DUN Kajang telah beralih arah daripada menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi Kajang, kepada meraih simpati terhadap Anwar yang kononnya dizalimi oleh mahkamah dan kerajaan BN. 

Mereka mengkritik sistem kehakiman Malaysia kononnya tidak bebas dan berada di bawah pengaruh penguasa politik. 

Penglipur lara PKR tentunya mengalami masalah amnesia yang kronik kerana Mahkamah Persekutuan dalam sistem kehakiman yang sama telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat 1.0 pada tahun 2004. Mahkamah Tinggi juga mendapati Anwar tidak bersalah dalam tuduhan liwat 2.0 pada tahun 2012. 

Nampaknya, seperti mana Pilihan Raya Umum 1999, PRK Kajang dijadikan medan untuk Anwar meraih simpati pengundi terhadap dirinya. 

Taktik ini terserlah apabila Anwar meletakkan Wan Azizah sebagai calon PKR bagi PRK Kajang. Wan Azizah dijadikan simbol penganiayaan terhadap Anwar yang digunakan untuk menagih simpati pengundi terhadap Ketua Pembangkang itu. 

Ironinya, Wan Azizah sendiri sebelum ini telah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan kepada Anwar bertanding. Alasan Wan Azizah pada ketika itu adalah untuk memberikan lebih tumpuan kepada tanggungjawab beliau sebagai seorang ibu dan isteri. 

Tatkala pengundi Kajang memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh bergelumang dengan masalah mereka, Anwar menawarkan pengundi seorang calon yang diharapkan dapat meraih simpati terhadap dirinya sendiri. 

Meletakkan Wan Azizah sebagai calon PKR dalam PRK Kajang tidak langsung memperlihatkan keikhlasan Anwar sebagai seorang pemimpin yang kononnya menobatkan dirinya sebagai pejuang rakyat. Nampaknya, kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat.

Apa pun, sandiwara Kajang akan terus dimainkan oleh penglipur lara PKR hingga ke hari mengundi. 

Persoalan penting bagi pengundi Kajang ialah apakah mereka seharusnya terpesona dengan plot cerita simpati terhadap Anwar atau membuat penilaian yang rasional dengan memilih calon yang benar-benar dapat menawarkan khidmat yang terbaik kepada mereka. 

Apakah Anwar lebih penting atau pengundi lebih penting? Tepuk dada, tanya selera.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...