YAB Datuk
Seri Najib Tun Razak meminta rakyat meneruskan sokongan dan memberikan mandat
kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus meneraju negara pada masa depan demi
kesinambungan pembangunan.
Perdana Menteri berkata, kesinambungan pentadbiran BN amat penting untuk memastikan kestabilan politik tanah air, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sebagai contoh, katanya,
dasar BN yang mewujudkan kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sejak 35 tahun
lalu menunjukkan syarikat itu setakat ini telah mengeluarkan agihan pendapatan
dan bonus berjumlah RM103.5 bilion serta menghasilkan lebih 200,000 peluang
pekerjaan di bawah anak syarikatnya.
"Sekiranya kerajaan
hari ini diberi mandat, kita akan pastikan PNB dan kumpulan terus mencipta kejayaan
di masa hadapan.
"Sebaliknya, kalau
kerajaan hari ini tidak mendapat mandat, saya tidak pasti nasib PNB dan
kumpulan. Ini realiti sebab pihak lain itu (pembangkang) tidak menjadikan
perbadanan ini sebagai agenda yang didukung dalam manifesto mereka,"
katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Syarikat Kumpulan PNB Bersama Perdana
Menteri Sempena Ulang Tahun Ke-35 PNB di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia
(MAEPS) dekat sini malam ini.
Dalam pada itu, Perdana
Menteri turut mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji kepada kesemua pekerja
tetap dan kontrak syarikat kumpulan PNB sebagai tambahan kepada bonus 2012 yang
dibayar sebelum ini.
Di samping itu katanya,
sebanyak 2,474 anak warga PNB yang berumur 23 tahun ke bawah turut diberikan
RM1,000 setiap seorang dalam bentuk unit Amanah Saham 1Malaysia.
Katanya, keupayaan
pemberian insentif itu adalah hasil kepada kecemerlangan PNB mengumpul aset
berjumlah RM237 bilion setakat Disember tahun lalu.
"Kejayaan PNB dan
kumpulan jelas menunjukkan warga bumiputera mampu dilantik mengendalikan
syarikat korporat yang besar.
"Kalau dulu mereka
tiada peluang, tapi sejak kewujudan PNB, ramai anak bangsa yang dibariskan
dalam kalangan mereka yang menguruskan perniagaan berbilion ringgit," katanya.
Sementara itu, Najib turut
mengumumkan pelancaran skim Hibah Amanah dan Perisytiharan Amanah PNB iaitu
perkhidmatan terbaharu berkaitan perwarisan unit Amanah Saham Nasional Bhd.
(ASNB) untuk manfaat lebih 11 juta pemegang unit yang melanggan sembilan tabung
unit amanah syarikat tersebut.
Katanya, pendaftaran skim
itu yang dibuka mulai esok akan memudahkan pengagihan unit amanah ASNB kepada
waris dengan lebih cepat, berbanding proses tuntutan harta pusaka biasa selepas
pemegang unit meninggal dunia.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...