Darahsatriadotcom

Followers

Monday 22 April 2013

Bila Tun Mahathir Berbicara...

Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya tindakan tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba meninggalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerana wang atau tekanan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebagai ahli akademik, sudah pasti Dr. Sidek lebih mempercayai kebenaran hasil kajian yang dilakukan sendiri berhubung pelbagai hal yang diperkatakan mengenai Anwar selama ini.

Bagaimanapun, beliau juga percaya parti pembangkang akan berbuat apa sahaja bagi menidakkan pandangan dan pendapat tokoh akademik itu.

"Sebagai seorang akademik, beliau (Dr. Sidek) berusaha untuk memahami kenapa Anwar tidak disukai oleh orang lain kerana sepatutnya mesti disukai seperti dirinya sendiri.

"Sebab itulah, beliau buat kajian dan akhirnya Anwar bukanlah seperti yang digambarkan dan tuduhan yang dilemparkan itu mempunyai asas walaupun beliau mengambil masa lama untuk meninggalkan Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam Bicara Negarawan: Transformasi Minda Terbilang Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, selain Dr. Sidek, Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) Dr. Chandra Muzafar dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali turut mengambil tindakan yang sama.

"Pepatah Melayu ada menyebut, tak kenal maka tak cinta, kalau tidak kenal, susah nak cinta dan masa itulah keburukannya baru kita nampak.

"Mereka ini dekat dengan Anwar dan dapat memerhatikan tingkah laku, sikap dan macam-macam lagi dengan mendalam," jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Mahathir berpendapat, tindakan empat bekas pegawai tinggi angkatan tentera menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku mungkin kerana mereka tidak puas hati semasa berada dalam perkhidmatan.

"Saya kenal sesetengah daripada mereka dan semasa dalam perkhidmatan, mereka setia kepada kerajaan yang masa itu dipimpin oleh saya.

"Tidak ada pula mereka membuat aduan tidak puas hati pada masa itu tetapi sekarang ini kerana mungkin ada peluang nak jadi wakil rakyat," kata Dr. Mahathir lagi.

Keempat-empat bekas pegawai tinggi angkatan tentera yang menyatakan sokongan kepada PKR ialah Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid dan Brig. Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatab.

Sumbet : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...