Maka, 20 April 2013, sudah ditentukan sebagai hari penamaan calon
manakala 5 Mei 2013 pula hari pengundian. Seramai 13.3 juta pengundi berdaftar
dalam pemilihan 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di
seluruh negara kecuali Sarawak.
Siapakah
yang akan mendapat mandat kali ini di peringkat Parlimen dan negeri-negeri? Apakah
matlamat mandat itu diberikan kepada parti dan calon? Siapakah yang boleh
menjadi penentu kepada faktor penarik dan penolak dalam konteks PRU?
Dalam
mana-mana pilihan raya, sudah pasti wujud pemimpin dan penyokong yang akan
terus menyokong parti mereka kerana merasakan ideologi dan matlamat parti
mereka adalah yang terbaik. Namun begitu, akan ada sebilangan pengundi yang
berada 'atas pagar' atau golongan tengah yang akan menunggu, memerhati dan
menilai tingkah laku politik baik oleh parti, penyokong mahupun perjanjian yang
dimeterai sewaktu melakukan kempen mereka.
Bagi
penyokong parti, apa sahaja yang dilakukan oleh parti mereka adalah untuk
proses pembangunan negara dan memartabatkan kedudukan agama, bangsa dan tanah
air. Namun, peningkatan kadar celik politik ketara sejak 2008. Ini disebabkan
oleh politiking yang tidak habis-habis sehingga hari ini. Kempen berpolitik
sudah dimulakan sekian lama dan tempoh masa 15 hari berkempen yang ditetapkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sekadar tempoh rasmi.
Namun
begitu, sesuatu harus dipelajari daripada apa yang berlaku pada PRU-12. Barisan
Nasional (BN) berhadapan undi protes besar-besaran daripada penyokong tegar
sendiri yang mahu BN belajar daripada kesilapan supaya tidak merasa terlalu
selesa.
Malahan, pembangkang mengakui ketika itu, sokongan yang diperolehi
adalah sesuatu yang di luar dugaan apatah lagi berjaya menembusi Kedah, Pulau
Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan kekal di Kelantan. Majoriti
dua pertiga kerusi di Parlimen dinafikan untuk BN.
Pasca
PRU-12 melihat banyak usaha secara berterusan dilakukan untuk memenangi
sokongan rakyat. Barangkali, ini adalah isyarat yang cuba disampaikan oleh
rakyat pada 2008 kepada BN. Bagi pembangkang, ketika itu tidak pula menyebut
tentang boleh menang di negeri yang telah mereka menang tetapi hakikatnya,
matlamat mereka hanyalah untuk menumbangkan BN.
Pembangkang
tidak berjaya sepenuhnya dan cabaran bagi parti pembangkang yang terdiri
daripada Pas, DAP, PKR dan PSM adalah untuk mengharungi ujian PRU-13 dengan
melihat sejauh manakah sokongan yang diperolehi pada 2008 akan kekal kerana
majoritinya datang daripada protes penyokong dan ahli parti BN sendiri. Ini
tidak dapat ditolak oleh kesemua parti kerana bagi BN, mereka juga akan diuji
siapakah yang menunjukkan kesetiaannya kembali kepada BN selepas terhakisnya
sokongan pada 2008.
Kelemahan
dan kesilapan sebelum ini diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dan beliau memohon maaf kepada rakyat. Malahan, sejak 2009 sehingga 2012,
pelan transformasi yang merupakan satu perjalanan mewarnai struktur perubahan
dan pembangunan negara.
Ini
diterjemah ke dalam Aku Janji Manifesto BN yang buat pertama kali menekankan
elemen apa yang telah dilakukan yakni 'pencapaian' dan apa yang 'akan dilakukan'
jika diberikan mandat untuk mentadbir lima tahun lagi. Ia mahu dinilai
berdasarkan kepada janji dan kebolehpercayaan yang mempertahankan nilai
kredibiliti dan rasa tanggungjawab ke atas proses pembangunan negara.
Kesemuanya dimuatkan dalam 'Menepati Janji, Membawa Harapan' dokumen
komprehensif berprinsipkan kemakmuran, keamanan dan keselamatan.
Risiko
besar diambil oleh BN dengan menyenaraikan apa yang mahu dilakukan sebagai
'janji' kerana jika ia tidak dipenuhi, maka pengundi boleh menghukum mereka dalam
PRU-14. Hakikatnya, keutamaan diberikan kepada keyakinan dan kepercayaan bahawa
ia mampu dilakukan berkiblatkan kepada pelan transformasi, konsep 1Malaysia dan
bagaimana 'rakyat didahulukan'.
Bagi
pembangkang dengan dominasi Pas di Kedah dan Kelantan; DAP di Pulau Pinang dan
PKR di Selangor; pembaharuan dan intipati manifesto 2008 akan dinilai.
Manifesto barisan pembangkang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat berbanding
dengan tiga manifesto berbeza pada 2008 yakni 'Harapan Baru Untuk Malaysia'
oleh PKR; 'Menuju Sebuah Negara Yang Berkebajikan' oleh Pas dan 'Hanya
Perubahan' oleh DAP. Penilaian akan dibuat kepada sama ada apa yang
disenaraikan pada 2008 sudah dipenuhi dan apakah yang mahu dilakukan untuk
jangka masa lima tahun akan datang.
Jika
dahulu, manifesto bukan sesuatu yang mahu dibandingkan, hari ini ia dilihat
daripada cerminan yang berbeza-beza. Ia dilihat sebagai satu persaingan pasaran
dengan pengundi menjadi konsumernya. Pelbagai jenama sudah melalui reformasi
untuk kekal relevan dalam kalangan pengguna mereka walaupun pengguna yang setia
tidak akan berubah kepada jenama lain.
Pakej
yang diketengahkan menjadi tarikan kepada pengundi yang boleh berubah-ubah
yakni 'pengundi atas pagar'; pengundi kali pertama baik yang berumur 21 tahun
mahupun 40 tahun yang baru mendaftar.
Hatta,
pakej menyeluruh akan dinilai dari pelbagai kumpulan pengundi baik yang muda,
pertengahan dan warga emas dengan melihat sejauh manakah yang dilontar adalah
bersifat rasional dan praktikal. Soal ciplak tidak timbul kerana pelancaran
pada waktu yang berbeza dan kebanyakan teras yang dikemukakan merupakan satu
kesinambungan dengan paparan hasil akhir membezakan keunikan antara
kedua-duanya.
Dalam
salah satu satu artikel ruangan ini, saya ada menyatakan bahawa - "pada
2008 sebelum penarikan keluar dari BN dan ada Ahli Parlimen menjadi anggota
Bebas; BN menang 140 kerusi; PKR bertanding 97 dan menang 31; Pas bertanding 66
dan menang 23 manakala DAP tanding 47 dan menang 29.
"Ini
bermakna, BN memerlukan 11 kerusi untuk kemenangan dua pertiga manakala bagi
pembangkang, ia mempunyai 85 kerusi walaupun boleh menubuhkan kerajaan mrnerusi
majoriti tipis dengan penambahan 27 kerusi daripada sedia ada dan mengharapkan
BN kehilangan 26 kerusi daripada 137 yang dimiliki hari ini".
Ada
hampir 17 kerusi yang dimenangi oleh BN dan parti pembangkang di bawah 1,000
undi pada 2008 (walaupun kemudiannya Kuala Terengganu dan Hulu Selangor melalui
Pilihan Raya Kecil). Ini termasuk Arau, Kuala Terengganu, Lumut, Bakri,
Sandakan, Sarikei, Limbang; Padang Terap, Alor Setar, Sik, Ketereh, Balik
Pulau, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat, Wangsa Maju dan Kota
Kinabalu.
Adakah
kerusi ini boleh diandaikan menjadi rebutan khusus atau akan berlaku perubahan
kerusi yang boleh dirampas bukan daripada 17 kerusi ini. Dalam PRU kali ini,
kesemua kerusi dan setiap undi penting dan boleh menjadi penentu kepada
kemenangan mahupun kekalahan sesebuah parti atau calon.
Apakah
psiki calon dan jentera akan menjadi penentu dalam pecutan terakhir ini?
Mampukah struktur parti di peringkat pusat, negeri, bahagian, cawangan dan
sokongan badan bukan kerajaan bersama memobilisasi sokongan dengan mengetepikan
kepentingan peribadi tetapi mengutamakan kemenangan parti?
Atau,
fitnah yang ditabur ke atas pemimpin akan menjadi faktor paling utama dengan
mengetepikan parti, calon dan sumbangan serta kestabilan sepanjang tempoh masa
PRU-12 sehingga PRU-13? Bolehkah sabotaj diminimumkan terutama dalam kalangan
yang bertungkus-lumus bekerja tetapi tidak menjadi calon? Sudah pasti parti
mempunyai percaturan mengapa 'calon paracut' perlu di beberapa kawasan.
Mandat
wajar diberikan kepada calon berkelayakan dari segi silat politiknya. Walaupun
mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, berjawatan besar dalam
mana-mana agensi bergelar teknokrat, pengurus, ilmuwan ataupun pendidik, jika
tidak memahami denyut nadi pengundi sebagai rakyat kebanyakan, maka mereka
tidak layak dalam politik kontemporari. Biar mereka dalam kerjaya
masing-masing.
Pengundi
mahukan seorang yang bersama mereka, menjiwai citra rakyat dan boleh memahami
pemikiran, keperluan dan kemahuan mereka.
Pertaruhan
PRU kali ini sudah sampai ke tahap apakah majoriti besar, kecil atau status
quo yang menjadi hasil akhir PRU-13? Mandat kali ini amat penting supaya
negara dapat merealisasikan segala macam perancangan termasuk yang sudah diukir
di sebalik Wawasan 2020.
Soalnya,
adakah pengundi mahukan penambahbaikan berterusan dengan jaminan bagaimana
keamanan dan keselamatan terpelihara tatkala tanah air berhadapan dengan
pelbagai cabaran dan melihat diri mereka turut bertanggungjawab dalam proses
tersebut atau di sebaliknya?
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...