Gesaan itu dibuat sekumpulan pemuda yang berkumpul di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini bagi mendesak supaya pemimpin negara bersikap adil dengan membela golongan yang selama ini setia menyokong aspirasi kerajaan.
Mereka yang bertopeng dan memakai baju hitam dengan pelekat 'ABC' turut membawa pelbagai sepanduk yang antaranya tertera perkataan TQ Orang Melayu Kerana Tidak Khianat, TQ Kaum India Kerana Tidak Khianat, Wahai Melayu Pertahankan Kalimah Allah, Bangunkan Ekonomi Melayu/India, dan 5 Mei Hari Pengkhianatan.
Kumpulan tersebut yang terdiri daripada kira-kira 30 lelaki turut melaungkan "ABC" dan beredar selepas membuat demonstrasi secara aman selama kira-kira lima minit.
Jurucakap kumpulan tersebut yang enggan dikenali berkata, mereka membuat demonstrasi itu bagi meminta kerajaan Persekutuan mengenang jasa serta budi orang Melayu, India, Sabah dan Sarawak yang telah memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan BN memberikan tumpuan dan komitmen tinggi kepada pembangunan ekonomi kaum-kaum tersebut.
"Bantulah kami, kaum yang mundur dalam bidang ekonomi. Kami menyeru kepada Melayu, India serta Sabah dan Sarawak agar bantu sesama sendiri untuk kepentingan ekonomi bersama," katanya.
Menurut jurucakap itu, sepanduk yang dibawa oleh mereka hari ini juga jelas menunjukkan apa yang tersirat di dalam hati mereka.
"Biarlah rakyat Malaysia sendiri mentafsir apa yang tersirat di sebalik mesej perhimpunan kami hari ini.
"Bagi saya, ABC ialah bermulanya perjuangan nenek-moyang kita dulu. Kita mula dari ABC tetapi sekarang telah menyimpang jauh," katanya sambil memberitahu pihaknya akan mengadakan satu lagi perhimpunan serupa di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...