Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday, 8 May 2013

Bila DAP Mengambil Peluang Kekalutan Melayu!

Rakyat telah membuat keputusan. Setiap lima tahun sekali, rakyat memilih wakil mereka. Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dianggap paling sengit dan mendebarkan sudah pun selesai. Semua pihak harus menghormati keputusan itu. 

Apa yang jelas dalam pilihan raya kali ini ialah orang Melayu dan agama Islam kerugian besar. Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya negara ini, perpecahan yang paling buruk di kalangan orang Melayu. Tidak ada parti Melayu yang untung, sebaliknya parti DAP mendapat kemenangan luar biasa. Parti itu memperoleh 38 kerusi Parlimen berbanding 28 pada tahun 2008. 


Nampaknya sebahagian besar orang Cina telah membuat keputusan menolak Barisan Nasional (BN). Semua parti Cina dalam BN menunjukkan prestasi yang teruk. Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa pilihan raya kali ini merupakan ‘tsunami kaum Cina’. 


Bagi orang Melayu, ini masa yang baik bagi membuat muhasabah diri untuk melihat bagaimanakah retak yang nampaknya semakin menjadi belah di antara mereka sendiri. Orang Melayu bukan dalam keadaan yang kukuh daripada segi ekonomi dan kemahiran tertentu”

Hal seperti ini tidak seharusnya berlaku. BN merupakan gabungan parti-parti yang terdiri daripada pelbagai kaum. Formula ‘kongsi kuasa’ yang bermula sejak Merdeka lagi menjadi asas Perikatan dan kemudiannya BN. Formula itu telah berjaya mengekalkan BN sebagai parti yang terus menerus memerintah negara. Formula itu juga menjamin keharmonian, kerukunan dan keamanan. Juga memungkinkan dasar-dasar yang membolehkan negara mencapai kejayaan.

Buat kajian mendalam 

BN harus membuat kajian mendalam mengapa penolakan itu berlaku. Sudah pastilah MCA akan mengotakan janjinya untuk mengkaji kedudukannya dalam BN sekiranya prestasi parti tidak baik dalam PRU-13. GERAKAN juga akan membuat penilaian serius apa yang berlaku. Alangkah sayangnya kesempatan untuk bekerja dalam satu pasukan yang diwakili oleh semua parti yang berteraskan kaum-kaum di Malaysia tidak dapat dipertahankan.

Mungkin orang Cina sependirian dalam banyak hal. Mereka mahu didengar melalui saluran lain, bukan lagi MCA, GERAKAN atau SUPP di Sarawak. Mungkin juga MCA, GERAKAN dan SUPP sudah tidak lagi relevan bagi mereka. Mungkin juga mereka lebih selesa dengan Pakatan Rakyat (PR) yang suara DAP terdengar kian lantang. Itu isu yang lain. 
Tapi kekalahan paling besar ialah orang Melayu dan agama Islam. Saya bukan mengatakan perpaduan Melayu hanya terhasil dengan BN dan UMNO. Tetapi sejarah membuktikan bahawa semakin berpecah Melayu, maka kepentingan dan suara Melayu akan semakin terhakis. Pilihan raya tahun 1969 menunjukkan bagaimana kuasa politik Melayu menimbulkan kegusaran pada orang Melayu.

Pada tahun 1974, menyedari betapa gentingnya isu perpaduan Melayu, PAS bergabung dengan UMNO dalam BN. Perkahwinan itu tidak lama, tetapi buat seketika, kegusaran itu dapat ditangani. Kita tidak membayangkan senario yang sama berlaku selepas ini. Sebahagian pimpinan PAS yang mengetahui sejarah 1974 menganggap UMNO mengkhianati mereka.

UMNO harus cipta semula diri 

Kali ini semua parti yang berteraskan Melayu/Islam seperti PAS dan UMNO terjejas. Lebih penting lagi kali ini, di mana-mana kawasan yang memerlukan undi Melayu, DAP akan memanfaatkan perpecahan itu. DAP kini menjadi parti dominan dalam PR. DAP memperoleh 94 kerusi Dewan Undangan Negeri, PAS 85 dan PKR 49. PAS sendiri melihat kemerosotan kerusi Parlimennya kali ini (dari 23 menjadi 21). UMNO menghadapi kemerosotan sokongan pada peringkat negeri juga. 

Mungkin orang Melayu hari ini mempunyai keyakinan luar biasa bagi membenarkan segala bentuk perpecahan, real atau imaginasi. Mungkin juga generasi muda Melayu tidak lagi dikongkong oleh beban sejarah. Keyakinan baru ini terhasil akibat pendidikan dan pendedahan, sebahagian besarnya kerana dasar-dasar BN dan UMNO.

Mahu tidak mahu, UMNO harus mencipta semula dirinya (re-invent) bagi tujuan menjadikannya terus relevan. Pengajaran tahun 2008 nampaknya belum sepenuhnya dihayati. PRU-13 memberikan amaran baru pada UMNO. Sebagai parti yang lahir pada tahun 40-an, perlu dilakukan proses penjenamaan dan peremajaan semula. Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh mengubah partinya dan BN dalam masa empat tahun. Mandat baru ini merupakan kesempatan terbaik bagi beliau.

Orang Melayu kena belajar 

Beliau mengambil sikap yang betul bagi menangani isu polarisasi kaum yang ketara akibat PRU-13 – proses reconciliation yang harus segera berjalan. Ini bukan masa menghukum dan melepas dendam, ini masa untuk merapatkan jurang dan menetapkan agenda sebenar negara. Dalam keadaan hari ini, proses itu tidak mudah.

Bagi orang Melayu, ini masa yang baik bagi membuat muhasabah diri untuk melihat bagaimanakah retak yang nampaknya semakin menjadi belah di antara mereka sendiri. Orang Melayu bukan dalam keadaan yang kukuh daripada segi ekonomi dan kemahiran tertentu. Orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang. Dan agama yang dianuti oleh orang Melayu juga sedang dicabar dengan cara yang luar biasa. Belajarlah dari kelemahan bangsa-bangsa yang lain. 


Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...