Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 14 May 2013

Bila Orang Melayu Dikhianati!

Satu sifat unik orang Melayu yang sering diungkap oleh pengkaji Barat adalah mereka akan 'mengamuk' kalau tersepit atau apabila tidak dapat memendam perasaan marah.

Itu dapat dilihat apabila kaum Melayu yang disifatkan British sebagai lembut, lurus dan mudah patuh kepada arahan menubuhkan UMNO pada 11 Mei 1946 bagi menentang gagasan Malayan Union.

Gagasan itu bertujuan mengubah status Tanah Melayu daripada negeri dilindungi oleh British dengan raja-raja Melayu masih menjadi ketua negeri kepada tanah jajahan mutlak yang diperintah secara langsung oleh British.

Antara perkara utama yang membangkit rasa tidak berpuas hati orang Melayu adalah apabila mereka merasa harga diri tercabar setelah pihak British mengamalkan pendekatan mengugut supaya raja-raja Melayu menerima gagasan berkenaan.

Sebagai tanda bantahan, orang Melayu telah berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain putih pada songkok.

Sejajar dengan fakta sejarah itulah, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah kelmarin ketika Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di Kuala Lumpur tidak menolak 'amukan' Melayu itu boleh terjadi jika tiada strategi berkesan diperkenalkan bagi mencegahnya.

Ini ditambah dengan senario perhimpunan demi perhimpunan haram oleh golongan berpakaian hitam yang disertai majoriti golongan muda Cina yang seolah-olah mahu 'mengugut' orang Melayu supaya mengalah dari segi penguasaan politik dan menyerahkan kuasa kepada pakatan pembangkang yang didominasi oleh DAP.
Beliau berkata, kaum Cina harus bersedia menerima tindak balas daripada Melayu kerana 'khianat' kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila merancang untuk merampas kuasa politik daripada Melayu, walaupun sudah mendapat manfaat besar dari segi ekonomi hasil daripada semangat setia kawan Melayu.

"Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati. Oleh kerana, orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah.

"Apabila Melayu dikhianati, akan ada tindak balas dan Cina mesti menanggung akibatnya daripada tindak balas Melayu," katanya.

Bagi mengelak berlaku pertembungan antara dua kaum utama di negara ini hingga boleh mencetuskan kekacauan, Mohd. Noor telah mencadangkan beberapa strategi bagi memastikan orang Melayu tidak merasa penguasaan politik mereka terancam dan dalam masa sama kaum itu tidak boleh dibiarkan terus terpinggir dalam bidang ekonomi berbanding kaum Cina.

Strategi dari segi politik adalah meminda Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan orang Melayu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri sekali gus memastikan kaum itu tidak merasakan kuasa politik mereka terancam.

Ini berikutan terdapat kelonggaran dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat tanpa disebut prasyarat mesti Melayu Islam.

Bagi peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Syarat kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan syarat ketiga, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat kedua ini bagi menepati syarat pertama. Ini bermakna syarat ketiga, jika tidak dipinda membolehkan kaum lain termasuk Cina menjadi Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Dalam pada itu, strategi bagi meningkatkan ekonomi Melayu yang dicadangkan Mohd. Noor adalah penyusunan semula masyarakat yang turut melibatkan pewartaan kawasan rizab Melayu di kawasan bandar bagi membolehkan kaum Melayu membangun dan menguruskan perniagaan bersama kaum Cina.

"Istilah cantiknya ialah menyusun semula masyarakat. Tapi istilah kasar ialah orang Melayu berhijrah supaya gedung-gedung yang kita lihat di bandar sama-sama dimiliki, bukan melihat sahaja.
 
"Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini hanya 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Mengulas cadangan Mohd. Noor itu, penganalisis politik, Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri wajar dibuat sejajar dengan hakikat sejarah bahawa majoriti negeri-negeri yang membentuk Malaysia dikuasai pemerintah Melayu pada zaman dahulu.

"Kebanyakan negeri kecuali Pulau Pinang dan Melaka adalah negeri-negeri Melayu termasuk Sabah dan Sarawak yang asalnya di bawah Kesultanan Brunei dan berdasarkan fakta sejarah ini, penguasaan Melayu harus terus dikekalkan," katanya.

Menyentuh cadangan untuk mewartakan tanah rizab Melayu di kawasan bandar, katanya, ia mungkin susah dari segi pelaksanaan kerana sebarang langkah untuk membuat pewartaan itu harus disertakan tanah gantian kepada bukan Melayu dengan keluasan yang sama.

"Bagi saya kaedah lebih praktikal adalah melaksanakan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk fasa ketiga dengan tumpuan turut diberikan kepada penduduk Sabah dan Sarawak setelah fasa pertama dan kedua dilaksanakan pada zaman Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kita sedar DEB sering dicemuh oleh pihak pembangkang tetapi itu berpunca kerana mereka tidak mendapat kefahaman jelas bahawa ia adalah adil kerana terikat dengan Peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Peruntukan itu dengan jelas menyatakan sebarang pembangunan ekonomi orang Melayu tidak boleh merampas hak-hak kaum lain termasuk harta-harta yang sedang dimiliki mereka," jelasnya.

Oleh itu, semua pihak harus menyedari bahawa cadangan yang dibuat oleh Mohd. Noor bukanlah berniat membangkit kebencian antara kaum seperti yang didakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, ia adalah idea paling bernas bagi mengelak kemunculan besar-besaran golongan yang melilitkan kain putih pada songkok sebagai membantah kumpulan berpakaian hitam yang menyertai perhimpunan haram anjuran pembangkang.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...