Darahsatriadotcom

Followers

Saturday 18 May 2013

Khairy Buat Kerja Gila!

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempelawa semua pihak termasuk pemimpin sayap pemuda parti-parti pembangkang untuk memberi sebarang idea dalam mengembalikan kerukunan serta perpaduan nasional.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian yang diterajuinya itu bukan 'Kementerian Barisan Nasional (BN)' tetapi merupakan kementerian milik semua khususnya golongan belia.

"Sudah tiba masanya kita maju ke depan dalam usaha menuju pembangunan dan transformasi. Jangan kita bertindak dengan membalas dendam kepada mana-mana pihak disebabkan hal yang lepas.

"Yang lepas itu lepas dan kita kena berdepan dengan masa depan," katanya seperti dipetik dalam laman Twitter miliknya hari ini.

Jelas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO, kementerian itu juga akan membangunkan 'Bank Idea' untuk golongan muda bagi membolehkan mereka memberikan pelbagai idea kepada kerajaan.

Dalam hal itu ujarnya, perkara tersebut tidak hanya tertumpu kepada isu-isu berkaitan Kementerian Belia dan Sukan tetapi pelbagai isu.

Beliau turut meminta kakitangan kementerian supaya mengurangkan birokrasi dan protokol, dan pihaknya amat menghargai idea daripada semua peringkat termasuk kakitangan sokongan.

"Saya juga mahu kakitangan kementerian bertindak mewakili suara hati nurani golongan belia," tambahnya.

Khairy yang mempertahankan kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Pelantikan beliau dilihat bertepatan dalam usaha mendekatkan golongan muda dengan kerajaan.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...