Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, perkara itu perlu memandangkan ancaman terhadap keselamatan negara dilakukan secara berterusan oleh pihak tertentu khususnya pembangkang menerusi alam maya.
Katanya, walaupun pembohongan serta dakwaan dibuat tidak boleh 'dilihat' tetapi ancaman dilakukan semakin melampaui batas sehingga menggalakkan rakyat menggulingkan kerajaan yang telah dipilih secara rasmi menerusi sistem demokrasi negara.
"Puak-puak ini menerusi laman sosial menghasut rakyat supaya membenci kerajaan, walaupun tiada asas serta bukti kukuh terhadap dakwaan mereka itu. Lebih membimbangkan apabila institusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PDRM, ATM dan mahkamah turut menjadi sasaran tohmahan mereka.
"Ini merupakan cabaran besar kepada pasukan keselamatan negara khususnya PDRM serta ATM, langkah terbaik adalah menerusi penubuhan pasukan IT. Pembohongan serta hasutan yang disebar luas oleh pihak-pihak berkenaan wajib ditangani dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak yang mahukan pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap pasukan serangan siber dipercayai tajaan DAP, Red Bean Army kerana sering mencipta penipuan dan memanipulasi fakta untuk menyuntik perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.
Presiden Kelab Muda Wartawan Malaysia, Dzulkarnain Taib juga bersetuju dengan Hamidzun apabila menyelar tindakan pakatan pembangkang khususnya DAP yang menggunakan gerakan siber untuk membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.
"Kita tahu apa yang dilaporkan tentera siber pembangkang itu tidak ada asasnya. Sehingga ke hari ini dakwaan-dakwaan yang disebar luas menerusi laman maya itu tidak dapat dibuktikan kesahihannya.
"Tetapi gerakan ini perlu ditangani dengan segera. Sekiranya dibiarkan lebih lama, kemarahan rakyat terhadap kerajaan semakin membuak, hasil daripada hasutan dan pembohongan dibuat oleh mereka yang menjadikan generasi muda sebagai sasaran," jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan meminda segera Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memerangi perang psikologi di internet seperti yang dilakukan oleh Red Bean Army.
Katanya, perkara itu perlu ditangani kerana Red Bean Army selama ini telah mengapi-apikan pengundi Cina dengan fitnah dan penipuan sehingga komuniti itu membenci kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Keadaan ini amat berbahaya kepada (kestabilan) negara dan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Masih belum terlalu lambat untuk (kerajaan) bertindak," ujarnya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...