Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 29 May 2013

Zahid Teruskan Taringnya Yang Berbisa...

6 lagi didakwa

  • Dituduh menganjur perhimpunan haram di lima negeri
  • Boleh didenda hingga RM10,000 jika sabit kesalahan

Enam lagi pemimpin pembangkang didakwa di Mahkamah Sesyen di lima negeri, semalam, mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, kerana menganjurkan perhimpunan haram sepanjang bulan ini.

Dua daripada mereka didakwa di Perak, manakala masing-masing seorang di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) APA 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.


IPOH: Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Thomas Su Keong Siong, 47, dan Setiausaha PKR Perak, Mohammad Anuar Zakaria, 46, didakwa menganjurkan dua perhimpunan haram pada 9 dan 12 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

Keong Siong didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Wisma Chin Woo, No 36 Jalan Hussein, di sini jam 7.30 malam, pada 9 Mei lalu, manakala Anuar didakwa melakukan kesalahan di hadapan Pejabat PKR negeri di Jalan Medan Istana di sini, 12 Mei lalu.

Julie Lack menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula, manakala kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

SEREMBAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus didakwa kerana menganjurkan Ceramah Umum Pasca PRU-13 di Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland di sini, jam 8.30 malam, 17 Mei lalu.

Mohd Nazree, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Jagjit menetapkan sebutan semula kes pada 25 Jun ini dan membenarkan Mohd Nazree diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

BUTTERWORTH: Setiausaha Eksekutif Pakatan Pembangkang Pulau Pinang, Ong Eu Leong, 44, didakwa kerana menganjurkan perhimpunan haram di Stadium Negeri Batu Kawan, jam 8.30 malam, 11 Mei lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan membebaskan tertuduh tanpa dikenakan sebarang jaminan.

JOHOR BAHRU: Setiausaha Kerja PKR Johor, R Yuneswaran, 27, didakwa menganjurkan Program Himpunan Black 505 Bantahan Terhadap SPR, jam 8.30 malam, 15 Mei lalu di hadapan Pejabat PKR di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram.

Hakim Muhammad Jamil Husin menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes dan membebaskan tertuduh tanpa sebarang jaminan.

KUANTAN: Setiausaha PKR Pahang, Kamarzaman Mohamed Yunus mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menganjurkan program Datuk Seri Anwar Ibrahim Bertemu Rakyat di Pejabat PKR negeri, Lot 1051, Jalan Beserah, jam 8.30 malam, pada 14 Mei lalu.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

INFO: Anjur perhimpunan

Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012: Seseorang penganjur perhimpunan hendaklah, 10 hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu Ketua Polis Daerah tempat perhimpunan diadakan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...