Darahsatriadotcom

Followers

Friday 14 June 2013

Anwar Semakin Tertekan Dengan Tindakan PAS Dan DAP!

Pas dan DAP tidak akan mengikuti langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.

Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, tiada sebab Ahli Parlimen DAP yang telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu memboikot majlis angkat sumpah dan sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Katanya, rakyat telah memberi mandat kepada Ahli-Ahli Parlimen DAP yang menang dan golongan itu perlu menghormati keputusan rakyat mahukan mereka sebagai wakil di Parlimen.


"Ahli DAP yang telah menang kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu akan hadir angkat sumpah. Kami tidak akan boikot.

"Walaupun ada perkara yang kami tidak bersetuju tetapi ada saluran betul boleh digunakan untuk tunjuk rasa tidak puas hati. Rakyat telah memilih kami, jadi kami perlu amanah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen kerana mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya umum lalu.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat 24 Jun ini tanpa alasan munasabah dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu, boleh dilucut atau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan.

Mengulas mengenai sebab tidak hadir pada majlis taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen Ke-13 semalam, Seng Giaw memberitahu, beliau perlu menghadiri upacara pengebumian mendiang ayahnya yang meninggal dunia pada 7 Jun lalu.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata, Pas telah bermesyuarat dan membuat ketetapan akan menghadiri majlis angkat sumpah di Parlimen.

"Kami telah membuat ketetapan akan hadir. Begitu juga dengan DAP, saya dimaklumkan ahli-ahli Parlimen mereka turut hadir.

"Saya mengetahui PKR merancang untuk memboikot majlis angkat sumpah itu melalui laporan akhbar tetapi tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Apa pun Ahli-Ahli Parlimen Pas tetap akan hadir," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...