Sambil menyifatkan sistem itu sesuatu yang malang, beliau mengulangi peringatan jika kaum Cina terus dibuai dengan slogan 'Ubah' kerajaan yang dilaungkan pembangkang terutama DAP, maka kaum tersebut akan terus tidak mempunyai wakil dalam kerajaan tetapi sekadar diwakili pembangkang.
"Kalau masyarakat Cina menghayati dan menyokong slogan 'Ubah', ini akan mencetuskan satu suasana politik yang mana kerajaan diwakili orang Melayu dan India manakala masyarakat Cina sekadar diwakili oleh parti pembangkang.
"Dalam debat saya dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, temanya (hujah saya) sistem dua parti menjadikan sistem dua kaum. Malangnya hari ini (sistem dua kaum) sudah menjadi satu hakikat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd. (Kojadi) Ke-31 di Wisma MCA Jalan Ampang di sini hari ini.
Selepas MCA menunjukkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Soi Lek dengan hampa mengakui senario politik negara kini berdasarkan sistem dua parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyifatkannya sebagai 'tsunami Cina', menolak MCA serta Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, para pemimpin pembangkang seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan lantang menafikan pandangan itu walaupun parti itu menang besar dalam PRU-13 berbanding pembangkang lain, khususnya hasil sokongan Cina.
Dalam pada itu, Soi Lek menyeru masyarakat Cina supaya mengambil peluang dalam pembangunan ekonomi negara melalui pelbagai program transformasi yang diperkenal Najib bagi membantu semua golongan masyarakat seperti Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Projek Pemodenan Bengkel Automatif-Motosikal (Atom).
"Masyarakat Cina sering berpendapat program yang diperkenal kerajaan adalah untuk bumiputera walhal ini tak benar. Tukar dan Atom untuk semua kaum. Melalui usaha ini, kita sedikit sebanyak berjaya meyakinkan masyarakat Cina untuk menyertai Tukar dan Atom," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...