Darahsatriadotcom

Followers

Saturday 15 June 2013

Tahap Kepuasan Rakyat Dikaji...

Kerajaan melantik sebuah syarikat perunding bebas antarabangsa menjalankan kajian dan penyelidikan sistematik bagi mengukur tahap kepuasan serta rasa selamat rakyat di negara ini.

Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bukit Aman, Datuk Ayob Yaakob, berkata pelantikan Frost & Sullivan membuktikan kesungguhan kerajaan menangani isu berkaitan keselamatan dan profesionalisme polis. 


Pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan perbincangan dengan syarikat terbabit kelmarin, bagi mencari hasil kajian terbaik untuk diguna pakai bagi membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, katanya. 


Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penerangan tertutup mengenai penubuhan Jabatan Pencegahan Jenayah dengan pegawai kanan polis negeri, termasuk ketua polis daerah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, di sini, semalam.


Penyelidikan dua fasa

Ayob berkata, syarikat perunding bebas itu akan menjalankan penyelidikan di seluruh negara dalam dua fasa dengan peringkat pertama dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Kita serius dan terbuka dalam menangani masalah dibangkitkan rakyat mengenai pelbagai perkara berkaitan keselamatan. Hasil kajian sistematik syarikat ini nanti diharap dapat membantu usaha memenuhi kepuasan dan rasa selamat rakyat, katanya. 


Katanya, polis turut berusaha memperbaiki kaedah pengurusan tahanan dan lokap, termasuk dengan mengkaji kaedah diguna pakai negara maju dan berusaha memilih kaedah terbaik bagi memastikan pengurusan itu dilakukan secara profesional.

Patuhi prosedur lokap

Prosedur kerja membabitkan tahanan dan lokap mesti dipatuhi, manakala pandangan orang ramai yang diterima setakat ini juga akan diberi perhatian.

Berasaskan prinsip, tahanan harus dilayan secara adil tanpa mengira kedudukan, status atau etnik selagi mereka tidak dibuktikan bersalah, katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua ketua balai polis perlu lebih proaktif dengan kerap bertemu mangsa jenayah bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai laporan dibuat mereka.

Selain itu, ketua balai terbabit meluangkan masa bertanya khabar mangsa jenayah bagi membuktikan polis sentiasa prihatin dan memberi perhatian serius terhadap setiap laporan jenayah yang dibuat, katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...