Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 12 June 2013

Wajib Baca : Perubahan Sokongan Parti Politik...

Kajian John Funston (2000) mengesahkan bahawa jika berlaku krisis besar dalam sesebuah parti politik, maka survival parti itu akan terancam. Ini dibuktikan dalam kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu, atau pun pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987 dan banyak lagi contoh yang membuktikan bahawa krisis dalam parti, jika tidak diselesaikan akan meruntuhkan sebuah parti walau sekuat mana pun, parti itu.

Ternyata UMNO menepati faktor ini di mana terdapat ketua-ketua bahagian yang bersikap degil dan ego yang tidak bersetuju dengan keputusan parti itu dalam menentukan calon, dan ini merupakan masalah politik dalam menghadapi PRU-12 dan 13 lalu.

Faktor demokrasi dan kepimpinan yang dijalankan oleh Hussain Mohamad (1992) menekankan demokrasi dalam UMNO sedikit sebanyak telah menjadi penentu kepada kekuatan UMNO. Pimpinan UMNO menggunakan konsep demokrasi iaitu bermesyuarah, selain demokrasi ala-Malaysia yang diamalkan.

Sejauh manakah gaya demokrasi dan kepimpinan yang dibawa UMNO ini boleh mengekalkan survival parti, bergantung kepada penerimaan ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada generasi baru nanti. Apa pun, konsep dan prinsip demokrasi itu adalah perlu konsisten diamalkan, walaupun berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO.

Faktor Imej dan Ideologi Parti yang dilakukan oleh Syed Arabi (1986) Von Der Mehden F.R (1987), jelas membuktikan bahawa imej dan ideologi parti sangat penting dalam menentukan survival parti politik. Walau pun pilihan parti berasaskan kepada beberapa variabel, pengundi juga berfikir mengenai parti politik atau calon yang dianggap berupaya membela nasib mereka.

Oleh itu imej dan ideologi yang dipancarkan oleh parti dan pemimpin-pemimpin parti berkenaan serta isu yang diketengahkan adalah penting kepada pengundi tersebut dan seterusnya boleh menentukan survival parti politik itu. Selain itu bukan sahaja imej parti perlu kelihatan menarik, tetapi sahsiah pemimpin juga perlu kelihatan menarik dan berketerampilan.

Pendapat yang mengatakan jika letakkan tunggul pun UMNO/BN akan menang sudah tidak boleh dipakai lagi. Bagaimanapun dalam PRU lepas, terdapat kes di mana calon yang diletakkan di suatu kawasan pilihan raya tidak disokong oleh pengundi walaupun disebabkan faktor imej dan ideologi parti yang menarik.

Faktor perkauman dan faktor ICT (Penggunaan Siber atau Internet dalam kempen tidak dibicarakan secara khusus oleh sarjana sains politik). Kalau ada pun ia dimasukkan ke dalam kategori 'faktor ideologi'. Tetapi ia tidak menepati maksud 'perkauman'. Mungkin ia amat menepati dengan keadaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Kenyataannya ialah, faktor perkauman telah menyebabkan sebahagian pengundi Cina menyokong DAP yang dikenali sebagai parti orang Cina di Malaysia. Bukti menunjukkan faktor ini mengatasi (override) apa juga penentu/faktor seperti ekonomi, pembangunan, bantuan subsidi dan sebagainya.

Dalam PRU-12 dan PRU-13 lalu pengundi Cina mengundi DAP dan sangat kurang memberi sokongan kepada parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Kesimpulannya, kemenangan pembangkang PR khususnya DAP lebih kepada faktor 'perkauman'. Sementara itu, penggunaan siber atau Internet dalam kempen juga merupakan satu lagi penentu kejayaan sesebuah parti politik selepas era 1990-an.

Penggunaan ini jika diperkasa dan digunakan dengan sepenuhnya boleh mempengaruhi pengundi untuk mendapatkan sokongan mereka. Sebab itu dalam kedua-dua PRU yang lalu, dikatakan parti pembangkang menggunakan ICT ini secara berlebihan dan mereka menggunakan sentimen kaum dan banyak pembohongan di dalam blog mereka sehingga pengundi Cina terpengaruh dengan dakyah pembangkang dengan hanya mengakses Internet.

Pengundi-pengundi Melayu terutama golongan muda di bandar-bandar juga sebahagiannya terpengaruh dengan dakyah pembangkang ini. Sebetulnya semua faktor itu masih penting cuma persoalannya apakah ada penentu-penentu lain atau strategi baharu selain yang disebutkan para sarjana untuk dapat mengekalkan sesebuah parti politik itu kekal menjadi relevan untuk masa kini dan akan datang. 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...