Darahsatriadotcom

Followers

Sunday 28 July 2013

Isu Scorpene : The Untold Story!

Propaganda yang kerap digunakan sesetengah pihak berhubung pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu dan dakwaan kaitannya dengan pimpinan negara, ditangkis hari ini apabila arkitek urus janji kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl, antara lain mendedahkan model Mongolia itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan rundingan itu.

Bercakap buat kali pertama mengenai urus janji itu, Jasbir juga bersumpah bahawa model itu tidak pernah berada di Perancis apabila mereka cuba memuktamadkan perjanjian itu.

"Saya bersedia bersumpah atas buku suci (agama) saya, Guru Granth Sahib bahawa saya tidak kenal orang ini, bahawa dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan, tak pernah jumpa dia, bahawa dia tidak pernah berada di Perancis semasa keseluruhan masa kami cuba untuk memuktamadkan urus janji itu.

"Saya hanya tahu tentang dia apabila membaca akhbar pada 2006 bahawa mereka telah menjumpai mayatnya," katanya kepada The New Straits Times dalam laporan khas bertajuk Scorpene: The Untold Story, yang diterbitkan di sini hari ini.


Jasbir juga menjelaskan jika Altantuya bertindak sebagai penterjemah bagi Abdul Razak Baginda, seorang bekas penganalisis politik tempatan yang membantu beliau menjadi orang tengah dalam urus janji itu, dia sepatutnya hadir pada semua mesyuarat dari tahun 2000.

Sebaliknya, dalam satu dokumen rasmi Perancis yang diberikan kepada NST, polis Perancis menyebut dengan tegas bahawa Altantuya tidak pernah memasuki Perancis dari 1999 hingga 2006, tahun di mana dia meninggal dunia.

Ia juga menyebut bahawa semua mesyuarat berlangsung di Perancis dengan sebahagiannya di Malaysia dan semuanya dalam bahasa Inggeris.

"Ini apa yang saya katakan sekarang, anda faham. Inilah apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa Perancis," kata Jasbir.

Abdul Razak, yang merupakan rakan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menonjol namanya pada 2006 apabila didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, 28, selepas dia cuba mengugutnya $500,000 daripada urus janji itu.

Beliau dibebaskan pada 31 Oktober, 2008 apabila Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia mendapati tiada kes prima facie ke atasnya walaupun dua anggota polis terbabit dalam pembunuhan itu didapati bersalah.

Menurut keterangan Abdul Razak di mahkamah, dia hanya bertemu Altantuya pada akhir 2004, sementara urus janji Scorpene yang memasuki peringkat rundingan pada 2000 selesai pada 2002.

Menjawab satu soalan berhubung keperluan melantik Altantuya sebagai penterjemah Abdul Razak, memandangkan beliau kerap dirujuk terutama melalui laman blog, Jasbir secara sinis berkata: "Anda tanya saya kenapa blog-blog ini asyik menjaja bahawa gadis ini penterjemah Razak. Anda patut ajukan soalan itu kepada blog-blog itu."

Laporan khas itu menimbulkan keraguan mengenai keperluan mengambil Altantuya sebagai penterjemah, apabila semua fakta menunjukkan bahawa rundingan dengan syarikat Perancis dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya, pasukan Perancis, pada awalnya diketuai seorang lelaki Inggeris, Martin Hill, yang juga fasih berbahasa Perancis, kata laporan itu.

Sebagai tambahan, dalam keterangan kepada pihak berkuasa Perancis pada 2010, bekas pengurus pemasaran DCNS bagi Malaysia dan Singapura pada masa itu, Fredric Faura, memberitahu para penyiasat bahawa tiada keperluan bagi seorang penterjemah memandangkan rundingan itu dijalankan dalam bahasa Inggeris dan rakyat Malaysia fasih dalam bahasa itu, kata laporan itu.

Jasbir hairan kenapa tiada seorang pun mempersoal kewibawaan tokoh pembangkang yang mengaku menghasilkan gambar kononnya menunjukkan Altantuya dengan Najib dan Abdul Razak, di sebuah restoran di Paris.

"Dengan pengakuannya, keseluruhan hubungan ini adalah hal peribadi antara (Abdul) Razak dan Altantuya. Perjanjian beliau dengan wanita itu tidak ada kaitan langsung dengan urus janji Scorpene.

"Agak malang kerana ia berlaku serentak dengan tercetusnya isu urus janji kapal selam. Razak satu-satunya orang yang ada kaitan dalam perkara ini," katanya.

Jasbir adalah bekas kakitangan Thomson-CSF International (M) Sdn. Bhd, anak syarikat Thomson-CSF (sekarang Thales) Malaysia, dalam projek kapal ronda pesisir pantai (OPV) Tentera Laut Diraja Malaysia, SHORAD (sistem pertahanan udara jarak dekat) dan projek lain kepada Thomson-CSF dan anak syarikatnya.

Pengalamannya yang luas dalam bidang ini menyebabkan Thales meminta beliau untuk menganalisis, menilai dan membangunkan satu cadangan bagi membekalkan kapal selam kepada Malaysia, yang menghasilkan pembelian Scorpene, kata laporan itu.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...