Darahsatriadotcom

Followers

Monday 29 July 2013

TNV Sentuh Sensitiviti Rakyat!

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, penayangan filem The New Village dikhuatiri akan menyentuh sensitiviti seluruh rakyat Malaysia yang majoritinya menolak sebarang usaha mengagungkan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero.

Ini kerana katanya, beliau telah menonton sedutan filem tersebut dan berdasarkan itu, filem tersebut sememangnya menyentuh sensitiviti seluruh rakyat Malaysia kerana seolah-olah mengangkat maruah pengganas komunis.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa terutama Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula kebenaran untuk menyiarkan filem The New Village.

"Perkara ini serius kerana kita lihat apabila filem bercorak patriotisme, Tanda Putera yang menceritakan kehidupan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak terpaksa ditunda setelah menerima kritikan daripada banyak pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas filem The New Village yang bakal ditayangkan di pawagam tanah air mulai 22 Ogos nanti iaitu dalam bulan kemerdekaan negara.

Perkara itu didedahkan sebuah blog, http://mymassa.blogspot.com selepas sedutan filem tersebut yang menceritakan kisah masyarakat Cina di Kampung Baru mula tersebar sejak minggu ini.

Blog itu seterusnya mempersoalkan bagaimana filem yang mengangkat perjuangan komunis itu boleh ditayangkan apatah lagi di bulan kemerdekaan sedangkan filem Tanda Putera terpaksa ditangguh penayangan beberapa kali.

Menurut mymassa, sepatutnya semua pihak yang terlibat dalam penghasilan filem berkenaan termasuk penerbit bersama, Astro Shaw sensitif terhadap penderitaan mangsa kekejaman komunis terutamanya bekas perajurit.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Pemuda UMNO turut meminta pihak berkuasa lebih tegas terhadap isu seumpama itu selepas ini agar keamanan dan kestabilan negara ini dapat dikekalkan daripada diganggu-gugat pihak tidak bertanggungjawab.

"Orang ramai yang prihatin perlu membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Penerangan dan Komunikasi melalui Twitter dan Facebook untuk meluahkan tidak puas hati mereka terhadap tayangan The New Village," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...