Lepas kita berpuasa, belanja puasa dan belanja raya Kunta Kinte rasa banyak yang sesak duit. Ada yang sesak teruk dan ada yang tak berapa teruk. Ada yang putus langsung sampai tak boleh bayar hutang atau kena tambah hutang.
Tok nenek kita ingatkan kita belanja ikut yang mampu. Mereka kias kata ukur baju pada badan dan jangan lebih besar kerak daripada periuk. Agama kita pula sangat tak galakkan kita berhutang.
Kunta Kinte selalu ingatkan iaitu orang yang berhutang adalah hamba. Tak kiralah dia hutang siapa – hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hutang MARA, hutang bank, hutang ceti, hutang along, hutang kawan – wajib bayar. Bagi orang Islam, mati dalam hutang sangatlah buruk.
Banyak juga orang Melayu berhutang pasal miskin. Tapi ada juga yang berhutang pasal tak ukur baju dengan badan. Yang Kunta Kinte sangat sedih dan sangat bimbang adalah banyak orang Melayu tak tahu pun yang mereka miskin.
Jadi Kunta Kinte berasa sangat seronok bila Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata kerajaan akan ambil berat soal jurang pendapatan antara yang miskin dengan yang kaya dalam Belanjawan 2014.
Sejak beberapa tahun yang akhir ini, Kunta Kinte tengok ada orang kita yang tak berapa suka cakap pasal agenda Melayu, agenda Bumiputera, basmi kemiskinan dan rapatkan jurang pendapatan antara kaum.
Pada 3 Ogos lalu, surat khabar New Straits Times petik Ahmad Husni sebagai berkata, kerajaan akan tangani masalah jurang pendapatan yang makin luas antara bandar dan luar bandar, antara kaum dan antara yang miskin dan kaya dalam kaum yang sama.
Kunta Kinte dah selalu cakap hal ini dan akan terus cakap sebab kalau kita biar dan tak buat apa-apa, satu hari nanti negara kita boleh jadi kalau-bilau bila kaum majoriti tiba-tiba sedar yang mereka sangat jauh ketinggalan di bumi mereka sendiri.
Tak apalah kalau kita nak transformasi ekonomi, nak jadi negara pendapatan tinggi dan nak amalkan ekonomi pasaran. Tapi kalau yang kaya tambah kaya dan yang miskin tambah miskin, macam mana kita nak kata kita negara bertamadun, negara adil dan negara berperikemanusiaan?
Betullah ada pembaikan pendapatan purata antara 2009 dan 2012. Pendapatan purata isi rumah naik 7.2 peratus daripada RM4,025 kepada RM5,000.
Purata ertinya kita pukul muat pendapatan semua isi rumah daripada yang kaya raya macam keluarga mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kepada yang papa kedana dan bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tapi kalau kita banding pendapatan bandar dengan luar bandar, kita akan nampak jurang yang luas. Pendapatan bandar naik daripada RM4,705 kepada RM5,742 sedangkan pendapatan luar bandar naik daripada RM2,545 kepada RM3,080. Kita pun tahu bangsa mana yang banyak di luar bandar.
Kemudian kita tengok ikut kaum. Tahun lepas pendapatan purata isi rumah Bumiputera naik 6.9 peratus kepada RM4,457. Tapi pendapatan isi rumah Cina naik 8.0 peratus kepada RM6,366 dan India naik 9.0 peratus kepada RM5,233. Maksudnya Bumiputera duduk di anak tangga paling bawah.
Kalau kita ukur guna Pekali Gini, jurang antara yang kaya dengan yang miskin di negara kita adalah antara yang paling teruk di dunia. Lebih kurang sama dengan negara China di mana yang kaya hidup macam maharaja, manakala yang miskin macam hamba.
Ikut Pekali Gini Bank Dunia, indeks Gini kita pada 2009 adalah 0.462 manakala China 0.470. Negara maju dan lebih egalitarian macam Norway, indeks Gininya 0.258, Switzerland 0.337 dan New Zealand 0.362.
Ikut Pekali Gini, lagi rendah indeks, lagi sempitlah jurang pendapatan. Ertinya hasil pendapatan negara diagihkan lebih sama rata. Kita pun sebenarnya pernah capai kadar agihan yang lebih adil dan sama rata iaitu dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru. Tapi sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98, kadar agihan merosot.
Bagi Kunta Kinte soal jurang pendapatan dan agihan kekayaan negara ini sangat penting. Apa pun dasar yang kita buat untuk perbaiki ekonomi negara, kita wajib masukkan unsur agihan yang adil dan sempurna. Silap kita adalah kita suka sangat tukar atau hapuskan dasar separuh jalan walaupun dasar itu baik dan ada kesan positif.
Kita ambil contoh pembangunan luar bandar dan pertanian. Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sengaja bagi label pembangunan luar bandar apabila dia mula bangunkan ekonomi negara pada 1960-an pasal sebelum itu, khasnya pada zaman penjajah, pembangunan ertinya bandar.
Bila di bandar, berapa kerat sangat orang Melayu dapat faedah. Jadi Tun Abdul Razak buat pembangunan khusus untuk luar bandar yang dulu diabaikan oleh penjajah dan di mana majoriti orang Melayu tinggal.
Lagipun, kalau tak kerana undi luar bandar, Barisan Nasional boleh jadi kalah dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Macam itu juga dengan pertanian. Sekarang lagi penting sebab manusia tambah ramai dan bekalan makanan dunia makin kurang dan harga tambah mahal kerana perubahan cuaca.
Kesimpulannya, walaupun Tun Abdul Razak meninggal dunia lebih 37 tahun, dasar-dasar yang dia perkenalkan masih relevan dan kita janganlah ambil mudah semata-mata sebab nak jadi negara maju, negara pendapatan tinggi dan negara transformasi.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...