Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 26 August 2013

Pengajaran Dari Bumi Mesir!

Tarikh 3 Julai lalu mencatat satu lagi peristiwa hitam buat Mesir apabila Presidennya, Mohammed Mursi yang dipilih rakyat disingkirkan oleh tentera dalam satu rampasan kuasa, selepas sempat memerintah selama setahun.

Kemelut terbaharu politik Mesir itu mencetuskan tanda tanya besar, apakah sebenarnya kemahuan rakyat Mesir selepas diktator Hosni Mubarak ditumbangkan pada Februari 2012? Detik bersejarah ini disaksikan sendiri Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, nama yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran.

Farrah bersama anaknya, Muhammad Razique Rafique, 3, berada di Mesir sejak Jun dan baru sahaja kembali ke tanah air, Isnin lalu.

"Saya dan anak ke sana untuk mengikuti pengajian al-Quran dan tinggal bersama adik saya di pangsapuri yang terletak bersebelahan Masjid Ibrahim, Iskandariah, Mesir.

''Pada awal Jun, krisis dan pergolakan politik tidaklah 'parah' seperti sekarang, bagaimanapun selepas tiga minggu berada di sana, keadaan mula berubah. Saya menyaksikan perhimpunan dua kumpulan berbeza," katanya yang mengakui agak takut melalui kawasan perkhemahan protentera ketika sebahagian rakyat Mesir mahu menjatuhkan kerajaan demokratik Mursi.

Pun begitu, Farrah cuba menyusun jadual agar tidak bertembung dengan kumpulan yang berhimpun. Katanya, mujurlah budaya rakyat Mesir (secara khusus penyokong tentera yang berkhemah) berbeza dengan Malaysia kerana rata-rata berjaga di waktu malam dan tidur pada siang hari dan mula aktif selepas zuhur atau asar.

Justeru Farrah dan anaknya menyusun jadual kelas pada awal pagi dan balik sebelum perhimpunan diadakan. Pada pengamatan Farrah, terdapat dua fasa perhimpunan yang diadakan di hadapan masjid berkenaan.

"Fasa pertama, saya perhatikan pemberontakan penyokong kumpulan liberal dan sekular yang ingin menjatuhkan Mursi. Penyokong pemerintahan tentera ini dilihat sering berpesta sepanjang mereka berdemonstrasi. Ada yang menari dan melompat bersuka ria sambil menunjukkan bantahan, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan belia.

"Berbeza dengan fasa kedua yang menyaksikan penyokong Mursi berhimpun dengan aman tidak bersenjata dan penuh tawaduk. Mereka melaungkan takbir, berzikir dan membaca al-Quran bagi mengisi masa terluang. Kumpulan ini juga berkumpul dengan penuh adab, memisahkan penyokong wanita dan lelaki," kata lulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini yang kini turut mengacara rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah dan mengendalikan perniagaannya, Najjah.

Cerita Farrah, keadaan perhimpunan di Masjid Ibrahim oleh penyokong Mursi pada awalnya terkawal sehinggalah suatu hari helikopter berlegar-legar di kawasan pangsapuri tempat tinggal beliau yang terletak bersebelahan Masjid Ibrahim -lokasi yang dijadikan kawasan berkumpul dan berhimpun penyokong Mursi.

Seperti menduga sesuai yang buruk berlaku, Farrah, adik dan adik ipar berjaga-jaga. Pada masa itulah Farrah menyaksikan penyokong Mursi diserang oleh samseng penentang Mursi yang dibantu polis menggunakan senjata seperti kayu, parang, batang besi, gas pemedih mata dan senjata api.

Peserta demonstrasi penyokong Mursi terus melaungkan kalimah Allah dan bersedia mati syahid melawan pihak polis yang menyerang mereka dengan alasan membubarkan perhimpunan. Serangan berdarah itu seolah-olah mimpi ngeri bagi Farrah.

"Sedih masa itu memandangkan penyokong yang mahu mempertahankan sistem demokrasi tidak bersenjata dan hanya mempertahankan diri dengan batu-batu kerikil dan mercun kecil diserang, mereka ditembak tanpa belas kasihan. Peristiwa ini sebenarnya menginsafkan kita.

''Tidak pernah selama hidup di bumi Malaysia menyaksikan keadaan seumpama ini. Bayangkan anda melihat jalan raya dibasahi darah. Di Mesir mereka melakukan revolusi kerana ingin mengubah pemerintahan diktator di bawah Mubarak kepada sistem demokrasi.

'' Namun apa yang berlaku kini bagaikan Mesir berpatah balik ke belakang. Berada di Mesir memberikan satu pengajaran besar kepada saya. Perpecahan mikro di Mesir adalah antara faktor utama menyumbang kepada pergolakan dan sukarnya kesepakatan diperolehi antara kesemua pihak,'' katanya.

Selain itu apa yang boleh beliau bandingkan ialah sikap pihak polis dan tentera Malaysia amat berbeza dengan pihak berkuasa di sana.

'' Tentera dan polis kita menjalankan tugas mereka sebaik mungkin untuk mempertahankan negara dan rakyat, namun di Mesir sebaliknya. Mereka membunuh rakyat sendiri pada skala yang menjijikkan," katanya .

Justeru Farrah berpendapat, sesiapa yang menang atas tiket kehancuran orang lain, ia tidak akan kekal dan bukan kemenangan namanya.

''Apa yang tentera Mesir lakukan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima walau apa alasan sekalipun,'' katanya.

Bagi Farrah, apa yang beliau saksikan di Mesir memberikan keinsafan dan pengajaran bahawa kita sama sekali tidak boleh membenarkan perbezaan menghancurkan kita.

''Di Malaysia, kaum Melayu, Cina dan India saling menghargai dan berkasih sayang. Kita mempunyai satu legasi yang cukup istimewa. Malah barat juga tidak mampu mengecapi tahap ini. Ukhuwah kita melangkaui perhubungan diplomatik. Kita benar-benar menghargai kepelbagaian budaya berbilang bangsa.

"Minggu depan kita akan menyambut hari kemerdekaan. Hargai dan pertahankan keamanan negara ini. Sebagai anak Malaysia, sudah pasti saya tidak mahu peristiwa berdarah di Mesir berlaku kepada kita" ujarnya yang berdarah kacukan Arab dan Pakistan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...